Berita UtamaDunia

Pertempuran kembali gegarkan Sudan selepas gencatan senjata tamat

11 orang awam terkorban dalam serangan artileri

KHARTOUM, 23 Zulkaedah 1444H, Isnin – Ibu kota Sudan serta kawasan berdekatan menjadi lokasi pertempuran hebat susulan tamatnya gencatan senjata selama 24 jam antara tentera negara itu dan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF), semalam.

Keganasan dilaporkan menggegar Khartoum serta bandar Bahri dan Omdurman.

Saksi menyifatkan pertempuran baharu – yang melibatkan tembakan artileri berat – sebagai antara yang paling sengit meletus sejak 15 April, apabila puak-puak tentera yang bersaing itu mula berebut kuasa antara Ketua Tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Mohamed Hamdan Dagalo – yang mengetuai RSF.

Sepanjang pertempuran itu, tentera telah melakukan serangan udara terhadap RSF, yang kebanyakannya bertindak balas dengan tembakan antipesawat.

“Gencatan senjata itu membuatkan kami bertenang sedikit, namun perang dan ketakutan kembali berlaku hari ini,” kata seorang saksi yang dipetik Reuters.

Menurut aktivis tempatan, sekurang-kurangnya 11 orang awam terkorban di dua lokasi tembakan artileri di selatan Khartoum, manakala enam orang awam terbunuh di timur Khartoum. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button