Berita Utama

Selamatkan nasib murid-murid di 80 Sekolah Persendirian Islam Selangor

Kerajaan negeri digesa mudahkan proses kelulusan permohonan operasi

BANGI, 27 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) melahirkan kebimbangan berhubung nasib Sekolah-Sekolah Persendirian Islam (SIP) yang bakal terjejas operasinya akibat pekeliling terkini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Shah Alam dan Subang Jaya.

Terdahulu, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) mendakwa lebih 80 buah SIP terancam ditamatkan operasi – yang menyebabkan lebih 20,000 pelajar Islam bakal kehilangan tempat belajar.

Berdasarkan syarat permohonan kelulusan perancangan yang telah dikeluarkan garis panduan oleh bahagian perancang bandar PBT, ia menyukarkan kelulusan penggunaan rumah kedai sebagai tempat pembelajaran SIP dan pelajar-pelajar Islam di Selangor.

“Perkara berkenaan diumumkan melalui satu surat pekeliling yang dikeluarkan kepada pihak sekolah serta menyukarkan proses kelulusan penggunaan bangunan, sehingga ada sekolah yang diarahkan supaya ditutup oleh pihak PBT,” dakwa NGO berkenaan.

Atas sebab itu, iGuru mendesak kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif bagi memudahkan proses kelulusan permohonan kebenaran operasi sekolah-sekolah tersebut dengan kelonggaran syarat yang munasabah dan bersesuaian.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan mencadangkan supaya satu rundingan melibatkan pihak JAIS, PBT di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pengurusan sekolah bagi menyelesaikan isu ini secara harmoni dalam suasana menang-menang.

Katanya, ini bagi memudahkan proses kelulusan pendaftaran sekolah dengan pertimbangan syarat -syarat yang wajar samada dalam bentuk kelulusan sementara sebelum mendapatkan kelulusan tetap.

Selain itu, Ustaz Azizee berharap supaya diskusi dengan dengan pemegang taruh melibatkan peperiksaan UPKK dan PSRA iaitu Bahagian Pendidikan Islam (BPI) JAIS dilakukan bagi memudahkan urusan pengambilan peperiksaan.

“Ia perlu juga campur tangan pihak JAKIM berkaitan dengan peperiksaan UPKK, supaya anak anak yang akan mengambil peperiksaan dapat diberikan kebenaran mengambil peperiksaan sama ada sebagai calon persendirian mahupun menumpang.

“Ini termasuk memberi kebenaran anak anak yang bersekolah di Sekolah Islam Persendirian mengambil peperiksaan dengan syarat -syarat minimum melalui kelulusan pendaftaran sekolah sementara,” katanya.

Justeru, iGuru berharap satu penyelesaian komprehensif dan konstruktif dari semua pihak bagi menyelamatkan institusi pendidikan Islam.

“Perkara ini penting demi kelansungan pendidikan anak-anak murid untuk mendapat hak dan jaminan pendidikan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button