Berita Utama

Jangan risau kredibiliti LHDN, tiada pilih kasih

Pemeriksaan premis sebagai perkhidmatan kepada pembayar cukai

KUALA LUMPUR, 29 Zulkaedah 1444H, Ahad – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dan siasatan berkaitan kes percukaian dilaksanakan dengan adil dan tanpa rasa takut.

Agensi itu berkata, pemeriksaan ke atas premis kediaman pembayar cukai adalah aktiviti penguatkuasaan yang dilakukan membabitkan kes siasatan cukai, dan bukannya menyasarkan pihak tertentu seperti didakwa sesetengah pihak.

LHDN juga berkata, pemeriksaan di premis, termasuk kediaman adalah sebahagian aktiviti penguatkuasaan untuk memberi keadilan dan dianggap sebagai perkidmatan kepada pembayar cukai yang menjalankan tanggungjawab mereka.

“Pemeriksaan itu tidak menyasarkan kumpulan tertentu, sebaliknya dilaksanakan kepada semua pembayar cukai yang disiasat berkaitan kes percukaian.

“Komitmen kami tetap sama, kami akan melaksanakan tugas kami mengikut perundangan percukaian yang berkuat kuasa.

“Penguatkuasaan dijalankan tanpa rasa takut dan pilih kasih. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan LHDN perlu kekal bebas daripada sebarang pengaruh,” menurut LHDN.

Jumaat lalu, media melaporkan, kediaman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Damansara, diperiksa sepasukan pegawai LHDN, dipercayai berkaitan isu percukaian.

Bagaimanapun, Hamzah menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan tentang kediamannya ‘diserbu’ oleh LHDN.

Beliau menganggap laporan tersebut sebagai fitnah ke atas dirinya dan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button