Berita Utama

Dong Jiao Zong pertahan pembinaan SJKC Too Joon Hing

‘Bantahan UMNO Subang tak bertanggungjawab, patut dikutuk’

BANGI, 12 Ramadan 1442H, Sabtu – Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) menyifatkan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing telah mewujudkan perpecahan antara rakyat pelbagai kaum dan mencetuskan rasa benci.

Ia berkata, bantahan yang diketuai UMNO Bahagian Subang baru-baru ini adalah tidak bertanggungjawab dan patut dikutuk oleh semua pihak. 

 

“Sejak beberapa tahun ini, ekstremisme agama dan kaum semakin memuncak, semakin banyak ahli politik dan pertubuhan yang melakukan perkara yang merosakkan perpaduan dan keharmonian antara kaum.

“Antaranya adalah mahu menutup sekolah vernakular, mencabar keabsahan SJKC dan SJKT, selain kejadian membantah pembinaan SJKC baru-baru ini, keadaan semakin serius sehingga menjejaskan kemajuan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 April lalu.

Mempertahankan pembinaan SJKC Too Joon Hing, Dong Jiao Zong berkata, Bandar Kinrara adalah kawasan kediaman dengan penduduk Cina yang ramai.

Katanya, oleh kerana kawasan tersebut tidak mempunyai SJKC berdekatan, maka sekolah sedia ada mengalami masalah kepadatan pelajar.

“Maka, pembinaan SJKC Too Joon Hing adalah amat diperlukan, untuk memenuhi keperluan pendidikan penduduk setempat,” katanya.

Tidak berpuas hati terhadap bantahan itu, Dong Jiao Zong berkata, kerajaan sepatutnya mengambil tindakan ke atas mereka yang merosakkan perpaduan rakyat dan bukannya hanya mengulas mengenainya secara bertulis.

“Kerajaan patut segera mempertahankan sistem pendidikan vernakular pada masa yang sama menghentikan semua tindakan dan perbincangan yang menjejaskan sistem pendidikan vernakular di negara ini, bagi mencegah dari berlakunya perpecahan di kalangan rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Dong Jiao Zong juga berkata, walaupun SJKC menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, pendaftarannya terbuka kepada kanak-kanak semua kaum. 

“Sistem dan pengurusan SJKC mendapat pengiktirafan ibu bapa bukan Cina, dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai ibu bapa bukan Cina mendaftarkan anak-anak mereka belajar di SJKC. 

“Menurut statistik daripada KPM, sehingga hari ini hampir 20 peratus pelajar SJKC adalah pelajar bukan Cina, SJKC mempunyai bilangan pelajar pelbagai kaum yang paling ramai, sekali gus membuktikan SJKC adalah sekolah untuk pelajar pelbagai kaum.

“Pelajar pelbagai kaum boleh belajar dengan gembira bersama-sama dan boleh mengenali serta memahami budaya kaum lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button