Berita Utama

Tragedi kepala air: Mayat ke-7 dikenal pasti

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan, cari 3 lagi mangsa

CHUKAI, 15 Zulhijjah 1444H, Selasa – Polis mengesahkan mayat yang ditemukan pagi ini sebagai Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, seorang daripada 10 mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata, identiti mangsa dikenal pasti selepas pengecaman oleh waris.

“Mayat dijumpai 24 kilometer (km) dari lokasi kejadian iaitu di sektor B di belakang Masjid Kampung Dadong, di sini oleh penduduk kampung, 7.45 pagi tadi. 

“Tujuh mayat telah ditemukan setakat ini dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Hanyan berkata, mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Setakat semalam, enam mayat yang ditemukan dan dikenal pasti identitinya ialah Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Mangsa yang masih hilang ialah Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24. 

Dilaporkan Karim dan Azizah bersama tujuh anak mereka serta Muhammad Fikri yang juga tunang kepada Putri Balqis Izzati pergi berkelah di jeram berkenaan pada Sabtu sebelum hilang dihanyutkan kepala air.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button