Berita Utama

Anwar kata ‘kelompok itu tetap bersekongkol pertahan harta mereka’

Tanggungjawab kita untuk selamatkan negara tercinta

KUALA LUMPUR, 17 Zulhijjah 1444H, Khamis – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak akan terjejas, walaupun wujud kerjasama antara dua bekas Perdana Menteri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merintis kerjasama untuk gerakan Proklamasi Orang Melayu baru-baru ini, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, ia bukanlah suatu perkara yang baharu.

“Kelompok itu tetap akan bersekongkol untuk mempertahankan cara mereka dan harta mereka. Jadi, kita bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara tercinta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan International Social Wellbeing Conference 2023 di sini hari ini.

Mengenai keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding bagi PRN yang diadakan Ogos ini, Anwar berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada beliau oleh kedua-dua presiden parti berkenaan.

“Mereka menyatakan peringkat ini tidak akan bertanding namun menyatakan sokongan…Saya mengucapkan terima kasih atas kesediaan mereka untuk membantu dan mempertahankan kedudukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

PRN yang melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button