Berita Utama

KKM terima 17 aduan, 14 premis bazar Ramadan diarah tutup

2,188 notis dikeluarkan, anggaran kompaun RM197,600

BANGI, 29 Ramadan 1444H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 14 premis makanan di bazar Ramadan telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Dalam kenyataan hari ini, KKM berkata, sebanyak 2,188 notis di bawah Seksyen 32B akta sama dengan nilai kompaun dianggarkan berjumlah RM197,600 dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis serta pengendali makanan dalam operasi dilaksanakan bermula 23 Mac lalu di seluruh negara.

Katanya, kompaun yang dikeluarkan membabitkan pelbagai jenis kesalahan seperti tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan.

“Sehingga 18 April 2023, KKM telah menerima sebanyak 17 aduan makanan di bazar Ramadan 2023 di seluruh negara.

“Sebanyak 15 aduan telah selesai disiasat, manakala dua masih dalam proses siasatan. Tindakan pembetulan serta nasihat telah diberikan kepada pengusaha premis yang terlibat,” katanya.

Kementerian berkata, operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri di seluruh negara itu membabitkan pemeriksaan premis dan persampelan makanan, bagi memastikan makanan yang disediakan serta dijual adalah selamat seperti ditetapkan Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Sebanyak 640 lokaliti bazar Ramadan di seluruh negara telah dilawati bagi tempoh 23 Mac hingga 16 April dengan jumlah 51,849 premis telah diperiksa.

“Bagi pengendali makanan pula, seramai 104,755 pengendali makanan telah diperiksa dengan pecahan 93 peratus (96,911 pengendali makanan) mempunyai suntikan anti-tifoid dan 84 peratus (87,832 pengendali makanan) telah menghadiri latihan pengendali makanan,” katanya.

Bagi kejadian keracunan makanan pula, KKM berkata, sehingga 13 April lalu, sebanyak dua laporan diterima membabitkan kejadian di bazar Ramadan Asia City, Kota Kinabalu dan bazar Ramadan UiTM Segamat, Johor.

“Kesemua kes telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berdekatan. Pendidikan kesihatan dan edaran risalah telah diberikan kepada pengurusan bazar, kes yang terlibat dan kontak yang terdedah.

“Empat notis kompaun di atas kesalahan tidak mematuhi pakaian pengendali makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada peniaga di bazar UiTM Segamat.

“Tapak bazar Ramadan UiTM Segamat juga telah diarahkan ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button