Berita Utama

Polis siasat kegiatan jual darjah kebesaran negeri Pahang

Set bintang, lencana hanya ditawar pada harga kira-kira RM1,000

KUANTAN, 24 Zulhijjah 1444H, Khamis – Kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang yang didakwa dilakukan melalui platform e-dagang tanpa kebenaran, kini dalam siasatan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kertas siasatan dibuka susulan satu laporan polis yang diterima berhubung aktiviti itu pada 11 Julai lalu.

Beliau memaklumkan, operasi khas akan dilakukan bagi mengesan pihak yang terlibat termasuk penjual, pembeli dan penggunaan ’emblem’ darjah kebesaran itu pada kenderaan.

“Kita dapati set bintang dan lencana darjah kebesaran itu hanya ditawarkan pada harga kira-kira RM1,000.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

“Jika disabitkan kesalahan, individu yang memasang, memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan mereka tanpa kebenaran berdepan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Yahaya berkata, pihak polis menyeru semua pihak mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan.

“Mana-mana individu yang telah memasang atau melekatkan lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada kenderaan tanpa kebenaran dinasihatkan agar menanggalkan segera bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button