Berita Utama

‘Siapa miskin tegar, kita tolong tak kira kaum’

Anwar akui lawan kelompok perkauman sempit sesetengah pihak

SUNGAI PETANI, 27 Zulhijjah 1444H, Ahad – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar seperti yang ditetapkan tahun ini sama sekali tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja, sebaliknya meliputi semua yang ada di negara ini.

Anwar sedar ada pihak yang mendakwa beliau melindungi kepentingan satu kaum sahaja, namun berkata, pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas iaitu memastikan semua yang ada di negara ini mendapat hak masing-masing berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

“Jangan tanya saya berapa peruntukan untuk kaum Melayu, kaum India, saya tidak peduli, ada sahaja jumlah, ada nama kita sahkan, kita tolong.

“Siapa yang miskin tegar, kita tolong. Kita tolong rakyat susah tak kira kaum,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat India Kedah di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami serta Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.

Perdana Menteri berkata, sejak dulu beliau perlu melawan kelompok perkauman sempit sesetengah pihak.

Anwar berkata, beliau sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh masyarakat India selama ini dan meminta mereka memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan bagi memastikan segala pembangunan yang dirancang dapat direalisasi.

Katanya, beliau sendiri mahu melihat masyarakat India, khususnya yang tinggal di estet, keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Saya nak pesan kepada masyarakat India di Kedah, buat keputusan yang baik, biar ada hubungan baik antara negeri dan Kerajaan Persekutuan, kita guna kuasa yang ada ini untuk bantu rakyat kita,” katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia sekitar Sungai Petani dan menerima memorandum masyarakat India Kedah berhubung isu ekonomi, sosial serta pendidikan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button