Berita Utama

Khutbah ingatkan kempen PRN bukan lesen cela, fitnah orang lain sebebasnya

Jais tak benarkan masjid, surau dijadikan medan propaganda, politik kepartian

BANGI, 3 Muharam 1445H, Jumaat – Khutbah hari ini mengingatkan semua calon dan penyokong parti bahawa tempoh berkempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) bukanlah lesen untuk mengumpat, mencela, mencerca dan memfitnah orang lain dengan sebebasnya.

Oleh itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melalui khutbah Jumaat berpesan supaya calon dan penyokong yang berkempen tidak mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak atau golongan tertentu, termasuk menyalahkan orang lain.

Ia turut menggesa supaya semua kempen dan ceramah dilakukan secara berhemah dengan menggariskan polisi-polisi yang akan dibawa untuk membantu rakyat mengatasi segala permasalahan dihadapi mereka.

“Calon-calon perlu menilai keupayaan dan prestasi diri mereka dan prestasi diri masing-masing sepanjang perkhidmatan kepada rakyat dan seharusnya memikirkan bagaimana untuk memperbaiki ekonomi dan keharmonian masyarakat di bawah pimpinan mereka.

“Setiap sesuatu yang baik yang ada pada pihak lawan perlulah diambil sebagai contoh untuk diteladani bagi mempertingkatkan prestasi diri demi memanfaatkan masyarakat yang dipimpin khususnya umat Islam,” katanya.

Pada masa sama, Jais turut mengingatkan seluruh rakyat di Selangor khususnya pentadbir masjid dan surau supaya tidak membenarkan premis itu dijadikan medan propaganda serta politik kepartian.

Jabatan itu menegaskan, sebarang bahan penerbitan berunsur politik tidak boleh dibiarkan sebarannya di kawasan masjid serta surau, apatah lagi membenarkan tokoh-tokoh politik menggunakannya untuk tujuan politik kepartian.

“Masjid serta surau adalah zon aman dan bebas daripada sebarang elemen dan pengaruh politik kepartian demi memelihara keharmonian umat Islam yang mengerjakan ibadah di masjid dan surau.

“Berilah peluang kepada ahli-ahli kariah masjid dan surau dapat beribadat dan mengikuti pengajian dengan tenang dan aman,” katanya.

Khutbah menegaskan, pencerobohan dan ketidakpatuhan terhadap perkara ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab serta melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta ketetapan Majlis Agama Islam Selangor.

“Tindakan boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melanggar ketetapan ini di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Pegawai yang terlibat juga boleh dibatalkan pelantikannya oleh MAIS mengikut Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button