Berita UtamaDunia

Aktivis Rohingya gesa beri tekanan kepada Myanmar

Nak pulang ke tanah air, tapi harap ada jaminan lebih baik di Rakhine

DHAKA, 4 Muharam 1445H, Sabtu – Aktivis Rohingya di Bangladesh menggesa masyarakat antarabangsa terus memberi tekanan kepada Myanmar susulan gesaan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar semula golongan minoriti itu ke tanah airnya.

Awal bulan ini, Majlis Hak Asasi Manusia PBB menerima pakai resolusi mengenai situasi hak asasi manusia Rohingya dan minoriti Myanmar yang lain, menjadikannya antara yang terbaharu menyeru kerajaan di Naypyidaw untuk mewujudkan “keadaan yang kondusif untuk penghantaran pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah”.

Masyarakat muslim Rohingya dan minoriti lain di Myanmar telah mengalami diskriminasi dan penganiayaan yang kejam selama berdekad-dekad.

Ia termasuk tindakan keras tentera pada 2017 yang mengorbankan ribuan nyawa sekali gus menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal di Rakhine.

Aktivis hak asasi Rohingya di Cox’s Bazar, Mohammed Rezuwan Khan berkata, bagi memastikan penghantaran semua golongan tersebut, masyarakat antarabangsa perlu memberi tekanan terhadap kerajaan Myanmar.

“Semua Rohingya tidak sabar untuk pulang ke tanah air, tetapi perlu ada keadaan yang kondusif di Rakhine.

“Dalam keadaan sekarang, jika kami kembali, kerajaan Myanmar akan menganiaya kami lagi,” katanya.

Dia adalah antara lebih sejuta rakyat Rohingya yang terpaksa berkampung di kem pelarian di Bangladesh.

Katanya, komuniti Rohingya di Cox’s Bazar kini sedang menderita kerana mencari kepastian mengenai masa depan mereka.

Katanya, keberadaan mereka di kem pelarian tersebut akan menyebabkan penghapusan generasi Rohingya termasuk tiada peluang pendidikan dan pekerjaan.

“Saya tidak tahu sampai bila perlu berada di sini sama ada selamat atau akan dibunuh, sebab itu kami tidak mahu terus tinggal di sini.

“Kami merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk memastikan penyelesaian yang mampan untuk tangani krisis Rohingya ini. ”katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button