Berita Utama

Cadangan Kit Siang seolah jerat, Muda jangan gabung dengan DAP

'Inilah hakikat perlu diterima jika gagal bezakan peluang dan ancaman'

BANGI, 27 Muharam 1445H, Isnin – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu menolak cadangan Tan Sri Lim Kit Siang untuk parti itu mempertimbang bergabung dengan DAP, selepas menghadapi kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, cadangan dikemukakan veteran DAP itu tidak ubah seperti dominasi politik kapitalis yang penuh kelicikan dan jerat.

Beliau turut kesal apabila pembabitan Muda dalam PRN kali ini hanya menyaksikan semua calon parti hilang deposit apabila tewas dalam merebut tempat di 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

“Tetapi itulah hakikat yang perlu diterima jika kita gagal membezakan mana peluang dan ancaman.

“DAP jelas ketandusan pimpinan dan kehilangan hampir total sokongan undi Melayu PRN kali ini.

“Kelantangan Syed Saddiq dalam menegur pimpinan PH wajar dipuji, tetapi terlibat dalam PRN sehingga hilang semua deposit adalah sesuatu yang sangat merugikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Fahmi menyifatkan Presiden Muda itu sebagai seorang yang berani, malah memuji parti berkenaan kerana telah menggerakkan anak muda dan turun berkempen.

Namun, kegagalan parti itu mungkin kerana tenggelam dengan naratif dan manifesto gelombang Perikatan Nasional yang menggerunkan, katanya.

Muda tewas semua 19 kerusi ditandingi selain calonnya hilang deposit, namun Syed Saddiq selaku Presiden berkata mengambil tanggungjawab penuh atas keputusan dicatat partinya itu.

Susulan keputusan berkenaan, Kit Siang menggesa Muda menimbang untuk menyertai DAP ekoran prestasi buruknya dalam PRN, Sabtu lalu.

Veteran DAP itu berkata, tiada pilihan lain di saat negara berdepan pilihan antara benar dan salah, serta antara peluang untuk bangkit menjadi negara kelas dunia atau terus menjadi negara yang ‘terpecah, gagal dan korup’.

“Saya telah sebut yang saya kagum dengan idealisme calon-calon Muda walau semuanya hilang deposit,” kata Kit Siang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button