Berita Utama

Kekosongan DUN Pelangai dimaklum pada SPR masa terdekat

Bantu selesaikan urusan pengebumian Allahyarham Johari terlebih dahulu

KLANG, 1 Safar 1445H, Jumaat – Kekosongan kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie dekat Bandar Elmina, Shah Alam, semalam. 

Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya akan membantu menyelesaikan urusan pengebumian Allahyarham Johari terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan lanjut.

“Apa-apapun kita mahu selesaikan urusan jenazah ini terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini malam ini.

Johari, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang merupakan seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas petang tadi.

Mohd Sharkar berkata, Johari menaiki pesawat berkenaan atas urusan rasmi. Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Langkawi, Kedah.

“Mulanya saya keliru sebab ada banyak Johari (di Pahang), tetapi apabila melihat nombor kad pengenalan bermula 1970 bermakna 53 tahun dan kita dapat jangka Johari Harun yang meninggal dunia,” katanya. 

Beliau menyifatkan Johari seorang yang rajin dan sentiasa mendapatkan nasihat daripadanya berkaitan politik. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button