Pendapat

Pemimpin adil sentiasa berusaha laksana syariat agama

Rakyat boleh nilai, teliti pilihan pemimpin untuk PRU16

BARU-BARU ini negeri Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, dan Kedah telah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebagai rakyat Malaysia, kita sudah pun menjalankan tanggungjawab kita sebaiknya dalam pemilihan pemimpin. Kita sudah pun memilih pemimpin kita. Jadi, sebagai rakyat, kita perlulah meneliti pemimpin ini untuk tempoh 5 tahun sebelum PRU berlaku lagi.

Kenapa kita perlu menilai pemimpin kita?

Kerana tanggungjawab setiap Muslim itu wajib memahami keutamaan dalam pemilihan seorang pemimpin untuk menjaga agama, negara dan bangsa agar pemimpin itu mampu memberi manfaat kepada semua makhluk sama ada rakyat Muslim atau bukan Muslim, bahkan haiwan, tumbuhan dan seluruh alam mendapat rahmat kebaikan seorang pemimpin.

Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam segenap aspek termasuklah dalam konteks kepemimpinan dan kenegaraan sehingga baginda berjaya meletakkan Islam sebagai perlembagaan yang tertinggi khususnya pembentukan Madinah al-Munawwarah melalui penyatuan rakyat pelbagai agama, kabilah dan warna kulit. Keadilan yang ditonjolkan oleh baginda dengan panduan wahyu daripada Allah SWT akhirnya membuka lorong terusan kebanjiran manusia bersama agama Islam yang mulia.

Allah SWT juga mewajibkan kita memberi penyaksian (memilih) pemimpin yang adil seperti dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Hendaklah kamu memberi penyaksian kepada mereka yang adil dan berpeganglah penyaksian itu (keputusan) kerana Allah semata-mata” – (Surah al-Talaq: 2).

Menurut Ibnu al-Qayyim bahawa keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan ia berlawanan dengan kesamarataan. Keadilan bukan diukur dengan persamaan jumlah dan bilangan, tetapi ia mestilah selari dengan ketetapan syarak sama ada ia satu bentuk suruhan mahupun larangan.

Jika Islam menyuruh umatnya memberikan hak-hak kepada rakyat seperti hak pendidikan, kesihatan dan keselesaan hidup, maka pemimpin yang adil wajib sama melaksanakannya seperti suruhan agama. Jika Islam mengharamkan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah, maka pemimpin yang adil wajib sama mengharamkannya selari dengan larangan agama.

Pemimpin yang adil ialah golongan pertama daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di padang mahsyar (Riwayat al-Bukhari). Pemimpin yang adil adalah individu yang sentiasa berusaha melaksanakan syariat agama, memberi sebanyak mungkin manfaat di samping menghapuskan kerosakan semaksimum yang boleh.

Justeru itu, untuk tempoh 5 tahun ini, kita mestilah menilai pemimpin yang telah kita pilih supaya syariat Allah mampu dilaksanakan dan kemungkaran mampu dicegah.

Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button