Berita Utama

Sumbangan kerajaan patut profesional, jangan guna logo parti

Prof Kok Seong tegur Kor Ming, beragaklah dalam berpolitik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 6 Safar 1445H, Rabu – Tidak perlulah dihangatkan lagi suhu politik yang sudah sedia panas dengan tindakan kontroversi pemimpin kerajaan yang seolah-olah menyalahgunakan jawatan demi mendapatkan ‘political mileage’.

Atas sebab itu, sebarang kaedah yang boleh dikaitkan dengan politik kepartian dalam menjalankan tugas kenegaraan sebagai Kerajaan Persekutuan perlulah dielakkan, kata Felo utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong.

Beliau menegaskan, sekiranya unsur sedemikian wujud, ia boleh membawa kepada perpecahan yang semakin berada di kemuncak.

“Saya kira tak patutlah kalau pemberian kerajaan itu yang sepatutnya profesional sifatnya dalam erti kata kuasa Kerajaan Pusat.

“Sudah pun diketahui Kerajaan Pusat itu dipimpin pihak tertentu, jadi tak perlulah dimasukkan apa-apa jua lambang yang boleh dikaitkan dengannya.

“Namun kita tahu itu untuk keuntungan politik atau ‘political mileage’,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambar tular majlis sumbangan cek kepada beberapa sekolah di Perak yang memaparkan logo DAP dan Pakatan Harapan (PH) bersama jata negara pada replika cek berkenaan.

Selain itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut dilihat pada majlis penyerahan sumbangan kepada beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) itu.

Bagi Kok Seong, isu ini bukan perkara baharu memandangkan dalam ketidakstabilan politik, parti-parti tertentu akan menggunakan apa juga saluran untuk mendapatkan keuntungan.

“Saya kira harus beragak-agak sikitlah dalam dalam berpolitik itu khususnya dalam persengketaan politik yang begitu dahsyat boleh dikatakan sekarang ini dan sudah berada pada kemuncaknya,” katanya.

Setakat ini, masih belum ada penjelasan daripada Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP berhubung isu itu walaupun dipertikaikan pelbagai pihak.

Pautan terdahulu;

Jangan jadi bodoh! Apa kaitan logo DAP-PH dalam replika cek kerajaan?

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button