Berita Utama

Razeef persoal alasan Hadi elak disiasat polis

Tindakan Presiden PAS seolah perbodohkan pihak berkuasa

BANGI, 17 Safar 1445H, Ahad – Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin mempersoalkan tindakan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa cuba menipu bagi mengelakkan dirinya disiasat pihak polis.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan polis telah menangguhkan janji temu untuk mengambil keterangan Presiden PAS itu semalam.

Ia berhubung kenyataan yang dipercayai mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas PAS Bakri, Muar minggu lalu.

Razeef berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, polis sepatutnya mengambil keterangan Abdul Hadi pada Sabtu, namun ditangguhkan kerana masalah kesihatan yang dialami beliau.

“Petang tadi (Sabtu), Abdul Hadi bersama empat Menteri Besar dari PAS serta Setiausaha Agungnya melakukan kunjungan ke kediaman Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Adakah Abdul Hadi menipu polis bagi mengelak dari disiasat? Tindakan Abdul Hadi jelas dilihat cuba memperbodohkan pihak berkuasa.

“Sampai bila Abdul Hadi boleh terus menipu untuk mengelak dari disiasat pihak polis seolah-olah beliau akan mati esok hari,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Razeef berharap pihak polis tidak lagi tertipu dengan taktik lapuk Abdul Hadi yang didakwa cuba mengelak untuk disiasat.

Ini kerana dalam ucapan Abdul Hadi jelas mempertikai keputusan dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan dilihat seperti menentang keputusan institusi diraja, katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button