Berita Utama

Tak boleh sentuh isu 3R bercanggah dengan Perlembangan: Muhyiddin

‘Kenyataan KPN tidak tepat, kita ada hak bersuara’

BANGI, 8 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kenyataan Ketua Polis Negara berhubung larangan menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R).

Katanya, jika isu kedudukan kaum Melayu, Islam dan raja tidak boleh disentuh langsung, ia dianggap bercanggah dengan Perlembagaan.

“Kita boleh cakap dengan cara baik, jadi kalau tak ada, soal memperjuangkan nasib kaum orang Melayu, takkan itu bercanggah atau mendukung Perlembagaan dan sistem beraja, takkan bercanggah juga.

“Jadi kita nak bercakap pun takut, pasal pihak polis tidak ada (prosedur operasi standard (SOP), jadi siapa sebut kena panggil,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, menjelaskan perkara 3R boleh disebut namun tidak boleh menyentuh sensitiviti atau perasaan perkauman.

“Jadi, bila Ketua Polis baru baru ini mengatakan jangan sebut langsung, saya faham memang ada Akta Hasutan dan lain-lain.

“Saya fikir kenyataan ini tidak tepat, jadi minta menteri beritahu Ketua Polis, jelaskan ia boleh kerana kita ada hak dan kebebasan bersuara,” katanya.

Muhyiddin pada masa sama berkata, beliau tidak pernah melihat mana-mana Ketua Polis Negara yang membuat larangan mengenai isu 3R sebelum ini.

“Saya pernah duduk di sana (kerajaan), tapi, saya tak pernah dengar dalam sejarah, Ketua Polis Negara mengatakan tak boleh sebut soal 3R,” katanya.

Atas dasar itu, beliau menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Tan Sri Razarudin Husain adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan semula.

“Saya fikir kenyataan ini tidak tepat, jadi minta menteri beritahu Ketua Polis, jelaskan ia boleh kerana kita ada hak dan kebebasan bersuara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button