Artikel Khas

Malaysia Malaysia bercanggah Perlembagaan, mesti diharamkan!

Kenapalah bangsa saya tak bersyukur, malah begitu berani semarakkan negara sekular

SEJAK dahulu saya telah katakan bahawa perjuangan UMNO tidak akan sehaluan dengan perjuangan ultra kiasu DAP kerana saling bertentangan. UMNO memperjuangkan Melayu Islam dan hak istimewanya. Manakala, DAP adalah perjuangan negara sekular dan hak sama rata dan sama rasa atau Malaysian Malaysia.

Sampai bila-bila pun atau sampai kiamat pun, tidak ada bertemu titik noktahnya kerana saling bertentangan. Sampai bila perkahwinan ini akan berkekalan? Tunggu dan lihat.

Apabila perkara ini berbangkit semula, maka menyalaklah pemimpin UMNO yang berkepentingan dengan menyatakan itu adalah pendapat peribadi segelintir pemimpin UMNO. Pada hemat saya, ini bukan pendapat peribadi segelintir, tetapi boleh dikatakan majoriti orang UMNO atau orang Melayu (Bumiputera), tidak kira, pemimpin mahupun ahli. Orang yang buta mata hati sahaja yang cuba menafikannya.

Kenapa DAP berkeras dengan perjuangan negara sekular dan Malaysian Malaysia. Jawapan mudah. Itulah sebenar DAP. Menggugurkan negara sekular dan Malaysian Malaysia, itu bukan lagi DAP namanya. Dalam kata lain, hidup mati DAP adalah dengan negara sekular dan Malaysian Malaysia. Menggugurkan dua asas ini bermakna DAP menempah nisannya. Buang masa sahaja, bangkitkan agar ultra kiasu DAP gugurkan perjuangan asas ini.

Persoalannya, apa UMNO patut buat? UMNO sejak dahulu lagi tahu, siapa DAP? Cuma, hari ini UMNO berada dalam keadaan terdesak. Mahu tidak mahu, terpaksa menerima, walaupun perjuangan DAP itu ternyata, bertentangan dengan Perlembagaan dan seluruh aspirasi Melayu Islam.

Perlu diingatkan, saya ulang, ulang lagi, dua asas perjuangan DAP ini, bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Malaysia, mengikut tafsiran pakar Perlembagaan, bukan negara sekular. Dalam kata lain, Islamik sangat pun tidak, sekular sangat tidak. Terletak di tengah-tengah.

Mana mungkin negara sekular, kerana banyak perkara berkaitan Islam disebut dalam Perlembagaan, terutama, Perkara 3 (1), kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, meskipun hak agama lain tidak dinafikan haknya.

Begitu juga dengan sama rata dan sama rasa, Malaysian Malaysia, tidak terpancar dalam Perlembagaan. Amat jelas termaktub tentang hak-hak Islam, Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak (perkara 153). Dalam kata lain, Perlembagaan itu sendiri penuh dengan sifat tidak sama rata dan sama rasa atau bertentangan dengan Malaysian Malaysia.

Perlembagaan itu begitu adil, dalam konteks maksud adil yang sebenar, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Itulah maksud adil. Bukan sama rata dan sama rasa, tetapi meletakkan sesuatu pada tempat. Tanyalah sesiapapun, adil bukan sama rata dan sama rasa. Pemimpin parti ultra kiasu DAP sengaja, tidak mahu memahaminya.

Sejak awal penubuhan, DAP sengaja meletakkan asas perjuangannya bertentangan dengan Perlembagaan, walaupun DAP tahu ianya bertentangan dengan Perlembagaan, kerana itulah wajah DAP yang sebenar. Hairannya, kenapa masih tidak mengenali?

Justeru, pemimpin UMNO tidak perlulah terus meratib untuk DAP menggugurkan perjuangan negara sekular dan Malaysian Malaysia. Jika masih terus ingin bersama DAP, maka terimalah hakikat itu. Jangan sama sekali diungkit kembali, ultra kiasu DAP tidak akan tunduk. Sebab itu, sedari dulu, saya label DAP sebagai ultra kiasu, tidak mahu kalah, mahu sentiasa menang, itulah Malaysian Malaysia.

Sekian lama saya sudah katakan, DAP bukan wadah terbaik untuk UMNO bekerjasama. Malangnya, UMNO tidak dapat berbuat apa-apa, terpaksa menerima, bagi menyelamatkan beberapa pemimpinnya.

Paling bodoh, apabila ada seorang dua, pemimpin Melayu ultra kiasu DAP berada dalam parti ini. Dengan bangga mengatakan bahawa Malaysian Malaysia tidak bercanggah dengan Perlembagaan. 

Soalan mudah saya, faham atau tidak makna Malaysian Malaysia? Jika tidak tahu, mari saya ajarkan. Sekian lama berpolitik, masih tidak faham, makna Malaysian Malaysia. Ia bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan, malah budaya politik majoriti Melayu Bumiputera negara ini. Jika pemimpin Melayu ultra kiasu DAP ini masih sedar dia Melayu, eloklah baca dan kaji apa itu Malaysian Malaysia.

Malaysian Malaysia, bermakna Malaysia untuk orang Malaysia. Dalam kata lain, sama rata dan sama rasa. DAP memperjuangkan equality (sama rata dan sama rasa) bukan equity (keadilan). Inilah juga perjuangan PAP (Singapura), sebelum melahirkan anak butir DAP (Malaysia).

Perjuangan ultra kiasu DAP sejak dahulu, sama rata sama rasa, semua agama mempunyai hak yang sama, bahasa yang sama, hak ekonomi yang sama, sosial yang sama. Maknanya, semua rakyat Malaysia, tidak kira penduduk asal, Melayu Bumiputera, sama sahaja dengan pendatang, dalam segala aspek dan cara hidup.

Maknanya perkara 3, Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 152, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perkara 153, hak istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan lain-lain, semua tidak terpakai, DAP mahukan semuanya sama. Tidak ada beza antara pribumi dengan pendatang.

Jika begitulah keadaannya, peribumi dan pendatang, sama sahaja, tidak ada apa yang membezakan. Maka, lebih baik, jadi pendatang, boleh dapat hak yang sama seperti peribumi. Buang sahaja, istilah peribumi, Bumiputera dan apa jua konotasi berkaitan penduduk asal.

Sebab itulah, di negara-negara lain, pendatang-pendatang yang mendatangi tanah yang bukan tanah asal, akan dikenakan pelbagai syarat. Paling ketara, adalah asimilasi. Pendatang mesti masuk dalam majoriti jika mahu hidup lama dan tinggal di negara yang didatanginya. Mesti tunduk dan patuh kepada semua cara hidup dan undang-undang tempatan.

Serapkan cara hidup dan budaya mereka dalam majoriti, seperti yang berlaku di semua negara di dunia. Contoh, Indonesia, Thailand dan lain-lain. Tidak akan ada sekolah berasaskan kaum atau sekolah vernakular. Jika tidak mahu berasimilasi, boleh angkat kaki, dan kembali kepada ke negara asal-usul. Ini juga menjadi syarat utama penjajah (British) sebelum meninggalkan negara kita.

Malangnya, di pemimpin Malaysia (Tanah Melayu) ini pelik. Sudahlah tidak diasimilasikan, kita benarkan sekolah berasaskan kaum beroperasi, tidak cukup sekadar itu, kerajaan bantu lagi, sama seperti sekolah aliran kebangsaan. Akhirnya, apa jadi? Kita sendiri yang menyemarakkan perjuangan Malaysian Malaysia. Pendatang menjadi semakin kurang ajar dan kurang ajar. Sehingga kini, menjadi sangat kurang ajar. Isu-isu sensitif sentiasa dibangkitkan, terutama perkara berkaitan dengan Islam dan hak istimewanya. Misalnya, soal pengajaran Jawi, hadis 40, dan banyak lagi walaupun tiada ada kaitan dengannya.

Perlu diingatkan jua, perjuangan Malaysian Malaysia, bukan hanya dalam parti ultra kiasu DAP sahaja, malah MCA, Gerakan dan MIC juga sama. Cuma tidak disebut sahaja Malaysian Malaysia.

Tindak-tanduk mereka adalah Malaysian Malaysia. Janganlah bersedap hati atau hanya tuding jari kepada ultra kiasu DAP sahaja. Hakikatnya, ultra kiasu MCA, Gerakan dan MIC juga sama. Kena ingat itu. Apabila kita gagal mengasimilasikan, maknanya, itulah perjuangan Malaysian Malaysia dalam kalangan pendatang ini. Istilah Sejarah dan asal usul meskipun ada yang kata ia sensitif.

Justeru, insaflah wahai saudaraku. Sudah terlambat rasanya untuk kita mengharamkan atau memberhentikan perjuangan Malaysian Malaysia ini meskipun ia bertentangan dengan Perlembagaan.

Kita sudah terlalu memanjakan ‘pendatang-pendatang’ ini, sehingga kaduk sudah naik junjung. Saya, akui, saya sendiri dan keturunan saya adalah juga pendatang, mengikut sejarahnya. Namun, saya adalah pendatang yang sedar diri, tahu hakikat sejarah. Saya teramat bersyukur kerana pendatang ini diterima seadanya, sama seperti saudara sendiri.

Bukan sahaja diterima seadanya, malah, semua kebebasan diberikan sama seperti peribumi, sehingga seperti tidak ada bezanya, seolah-olah Malaysian Malaysia sudah terlaksana dengan sendirinya, malah lebih dari itu. Siapa yang terkaya? Rumah ibarat mana yang paling banyak?

Cuma, saya teramat kesal, kenapa bangsa saya tidak pernah bersyukur, malah begitu berani mencabar, dengan menyemarakkan perjuangan Malaysian Malaysia dan negara sekularnya.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button