Berita Utama

PAS dakwa DAP cemas kerusi Simpang Jeram dirampas PN

Pengundi perlu tunai tanggungjawab, buktikan gelombang politik Melayu terus bangkit

BANGI, 22 Safar 1445H, Jumaat – PAS mendakwa DAP kelihatan cemas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dirampas Perikatan Nasional (PN), menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) esok.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, panglima DAP telah membunyikan semboyan menyeru penyokongnya memastikan keluarga dan rakan di Simpang Jeram untuk keluar mengundi.

“Ini bermakna mereka sedang cemas. DAP tidak mahu kerusi Parti Amanah Negara (PAN) jatuh.

“DAP tidak mahu PN terus mewakili suara ummah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk gesaan disuarakan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming supaya penyokong Pakatan Harapan (PH) memanggil keluarga dan rakan mereka pulang mengundi.

Kor Ming berkata, keputusan PRK di dua kerusi itu penting kerana mencerminkan pendapat orang ramai.

“Jangan anggap satu undi anda tidak penting, malah kita telah kalah dalam pilihan raya dengan majoriti tipis hanya 14 undi.

“Hubungi keluarga dan rakan anda yang bekerja di Singapura, Kuala Lumpur atau di mana-mana sahaja dan minta mereka kembali mengundi.

“Ia (keputusan pilihan raya) adalah cerminan pendapat umum, sebab itu pilihan raya ini sangat penting,” katanya.

Serentak itu, Roslan turut meminta pengundi Melayu di Simpang Jeram menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.

“Ayuh sahabat-sahabat pengundi Simpang Jeram sekalian. Buktikan yang gelombang kesedaran politik umat Melayu terus akan bangkit termasuk di sini.

“Pastikan anak isteri, kaum keluarga, rakan taulan kita semuanya mengundi. Keluarlah beramai-ramai melepasi angka 80 peratus, biar bumi dipijak kekal milik kita. Undilah PN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button