Berita Utama

Azmin dilantik Ketua Pembangkang DUN Selangor

Diharap dapat jalankan tanggungjawab sebaiknya

SHAH ALAM, 3 Rabiulawal 1445H, Selasa – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Speaker DUN Selangor, Lau Weng San yang membuat pengumuman itu berkata, pihaknya menerima surat daripada Perikatan Nasional (PN) Selangor pada 15 September lalu untuk mencalonkan Mohamed Azmin sebagai Ketua Pembangkang.

“Diharapkan Ketua Pembangkang telah dilantik dan dipersetujui ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya, tahniah diucapkan,” katanya pada Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Penggal Pertama DUN Selangor ke-15.

Pada penggal lalu, jawatan itu dipegang ADUN Sungai Air Tawar dari Barisan Nasional (BN), Datuk Rizam Ismail.

Pilihan raya negeri (PRN) lalu bagaimanapun menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan BN bergabung dan kemudiannya memenangi PRN pada 12 Ogos lalu selepas menguasai 34 daripada 56 DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri bagi penggal ke-15.

Pada 21 Ogos, seramai 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri Istana Alam Shah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button