Berita Utama

PAS bersedia hadapi PRK Kemaman

Yakin akan menang majoriti lebih tinggi jika pilihan raya diadakan

BANGI, 12 Rabiulawal 1445H, Khamis – PAS bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam landskap politik negara termasuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman semula.

Malah, parti itu yakin akan menang dengan majoriti lebih besar, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Insya-Allah, kalau ada PRK Parlimen Kemaman, (akan menang dengan majoriti lebih banyak) berdasarkan ‘mood’ semasa,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Selasa lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid pada PRU-15 bagi kerusi Parlimen berkenaan.

Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan tersebut setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen berkenaan.

Pada pilihan raya itu, Che Alias menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan majoriti 27,179 undi.

Ahmad Samsuri, pada masa sama berkata, pihaknya belum memutuskan sama ada akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan berkenaan.

Keputusan hanya akan dimuktamadkan pada mesyuarat AJK PAS Pusat dalam tempoh terdekat.

Katanya, buat masa ini pihaknya belum ada perincian mengenai mesyuarat itu kerana mahu menunggu keputusan penghakiman bertulis dikeluarkan terlebih dahulu.

“Kita belum tahu lagi sama ada buat rayuan atau tidak, kami nak tunggu written judgement daripada hakim untuk meneliti apa yang diputuskan dalam penghakiman itu.

“Kemudian PAS akan buat keputusan…kita harap, Isnin akan dapat tengoklah penghakiman bertulis itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button