Artikel Khas

Ahli akademik jangan nampak bodoh bila ulas isu politik

Jujur dengan ilmu, tak perlu berpolitik untuk dapat laba dan jawatan

MEMBACA pandangan beberapa ahli akademik yang rasa pelik apabila lima jawatan tertinggi PAS tidak dipertandingkan, pada saya itu perkara biasa. Hatta, jika semua jawatan tidak dipertandingkan, pada hemat saya juga itu perkara biasa, memahami budaya politik PAS sekian lama.

Sebab itu apabila saya membaca komen ahli akademik, mengatakan demokrasi dalam PAS telah mati, PAS tidak layak pimpin negara, PAS tidak ada ada pelapis dan macam-macam komen sampah lagi, menunjukkan betapa bodoh dan naifnya ahli akademik itu.

Itu belum diselidiki sama adA pengkomen akademik itu dalam bidang atau tidak. Kadang-kadang kita dapati, bidang lanskap, komen pasal politik, lebih politik daripada orang mengaji politik. Begitu juga yang lain.

Nasihat saya, kalau pun nak naik, mengharapkan habuan dan jawatan, jangan memperbodohkan diri sendiri. Marhaen di luar sana, akan nampak kamu, tidak jujur dengan ilmu. Duduk dalam institusi ilmu, kerjanya membodek.

Sebelum kamu mahu komen apa-apa tentang PAS, baca dulu, budaya politik PAS.

Orang PAS sendiri, bermula dengan pemimpin hingga kepada ahli, tidak ada seorang pun yang komen pasal lima jawatan yang tidak dipertandingkan. Mereka reda dan akur dengan keputusan parti.

Kita yang berada di luar ini siapa pula, mahu lebih garpu daripada sudu?

Dalam PAS, jawatan itu Amanah itu, bukan untuk direbut. Inilah tarbiyyah parti dalam PAS. Faham atau tidak. Jika tidak faham baca buku politik PAS dahulu.

Saya teringat kepada kata-kata calon PAS, Dr Mazri, yang tewas dalam PRK DUN Simpang Jeram baru-baru ini. Sebelum ini pun, beliau telah tewas dalam pilihan raya. Ikutkan beliau tidak ada keinginan langsung untuk bertanding. Tetapi pucuk pimpinan mengambil keputusan mahu beliau bertanding dalam dalam PRK Simpang Jeram.

Apa kata Dr Mazri apabila pucuk pimpinan PAS membuat keputusan meminta dia bertanding. Dia bertanya balik adakah ini arahan atau permintaan. Jika permintaan, dia akan tolak, sebab kerja beliau sebagai doKtor pakar, sudah tidak terpikul. Lumayan dan lebih daripada cukup untuk menyara kehidupannya.

Namun, jika ini adalah arahan, saya terpaksa terima. Dr Mazri berkata, dalam tarbiyyah PAS, jawatan tidak diminta, tetapi apabila telah diamanah, kita kena akur. Inilah budaya politik PAS.

Dalam PAS, menerima jawatan atau menerima arahan untuk bertanding dalam kepimpinan atau menjadi wakil rakyat itu, adalah suatu pengorbanan. Jawatan itu amanah, bukan untuk membolot harta dan kekayaan.

Dalam PAS boleh dikatakan semua wakil rakyat mereka, sebahagian gaji (pendapatan) mereka perlu disumbangkan untuk parti. Menjadi pemimpin dalam PAS itu adalah amanah untuk agama, bangsa, negara dan parti. Sebab itu kena akur arahan parti.

Dalam PAS, mereka telah ditarbiyyah, akur dengan keputusan pucuk pimpinan. Patuh kepada keputusan ulama.

Dalam kata lain, perlaksanaan tarbiyah dalam kalangan pimpinan lebih terarah kepada membina kepimpinan jamaah, nuqaba dan ahli yang mempunyai iman yang teguh, tekun beribadah, berakhlak mulia, istiqamah berjuang dan sentiasa bersemangat berbanding dengan ahli biasa.

Biasa kita dengar, apabila pucuk pimpinan membuat keputusan, ahli akar umbi akur dengan apa sahaja keputusan yang diputuskan pemimpin mereka kerana bagi mereka pucuk pimpinan lebih mengetahui baik dan buruk tindakan diambil untuk kepentingan ahli dan parti itu.

Ahli PAS mestilah seorang jundi bagi hizbullah yang mempunyai sifat dan akhlak yang mulia, iaitu bertaqwa kepada Allah SWT, beriltizam dengan parti, mampu memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan, memiliki aqidah yang sahih, melaksanakan ibadah dengan sempurna, memahami syariat Islam dan sirah Rasulullah s.a.w dan para sahabat, menjalani mu’amalah dengan betul dan menghayati Islam sepenuhnya dalam kehidupan. Begitulah hubungan antara pemimpin dan ahli PAS.

Sebab itulah, jika ahli akademik, tidak faham budaya politik ini, janganlah ikut sedap mulut untuk komen. Nampak sangat kebodohan kamu. Ini tidak, pantang wartawan tanya, jawab selalu, akhirnya, terserlah kebodohan kamu. Kamu, jangan malukan akademik yang lain.

Persoalannya, adakah apabila jawatan tertinggi tidak dipertandingkan itu bercanggah dengan demokrasi? Tidak, jika itu keputusan parti dan diterima parti. Adakah ia lebih teruk daripada UMNO, kerana UMNO hanya menghadkan dua jawatan sahaja tidak pertandingkan berbanding lima dalam PAS? Semua terpulang kepada parti dan ahli. Itulah asaskan demokrasi. Jika ahli setuju dan akur, itu demokrasi. Tidak timbul soal mana lebih teruk.

Saya cukup sedih ada ahli akademik cari makan komen isu PAS ini. Ada yang kata seolah-olah PAS tidak ada barisan pelapis. Dalam PAS ini, melambak barisan pelapis di pasaran.

Satu lagi kamu tahu, kenapa orang yang baharu masuk PAS seperti Dato Seri Shahidan Kasin dan Tan Sri Anuar Musa, tidak mahu bertanding? Awal-awal telah beritahu mereka mahu duduk sahaja dahulu dalam PAS? Kenapa? Kerana mereka berdua ini sangat faham budaya politik PAS?

Malang sekali, ahli akademik yang mengkaji perkara ini, duduk dalam menara ilmu, tidak dapat memahami budaya politik seperti ini dan terus semborono memberikan pandangan, akhirnya terserlah kebodohan diri sendiri.

Terlebih naif lagi, bila tidak dapat membezakan antara budaya politik PAS dengan budaya politik UMNO. Saya sarankan ahli akademik seperti ini, jika tidak ada asas dalam ilmu politik, esoklah pergi mengaji dulu teori asas sains politik, budaya politik dan sosialisasi politik. Jangan buat malu institusi yang kita wakili. Nampak macam pandai adalah Phd tetapi naif, bebalisme kata almarhum Prof Syed Husein al Atas.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button