Berita Utama

Ahli Parlimen dilarang buat ‘live’ semasa sidang Dewan Rakyat

Platform YouTube Parlimen, RTM sudah mencukupi: Johari

BANGI, 1 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Semua Ahli Parlimen tidak dibenarkan menggunakan peranti elektronik seperti telefon bimbit di atas meja bagi membuat penstriman langsung menerusi media sosial pada sesi persidangan di Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, larangan itu selepas mendapati trend Ahli Parlimen memasang peranti seperti telefon bimbit di meja masing-masing untuk membuat perstriman langsung semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Katanya, tindakan itu menyebabkan mereka hilang tumpuan di Dewan Rakyat, apabila berinteraksi menerusi media sosial.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 35(1), Ahli Parlimen perlu mengarahkan ucapan kepada Pengerusi mesyuarat.

“Tindakan beberapa Ahli Yang Berhormat berucap dengan tidak mengarahkan ucapan itu kepada Pengerusi dan memandang peranti yang dipasang jelas tidak mematuhi peraturan berkenaan.

“Untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 35(1), saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat penstriman langsung dalam Dewan Rakyat,” katanya

Mengulas lanjut, Johari menjelaskan persidangan Dewan Rakyat boleh ditonton melalui YouTube rasmi Parlimen Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media massa yang lain.

Katanya, platform YouTube Parlimen dan RTM sudah mencukupi dan sebarang rakaman ucapan Ahli Parlimen boleh dirujuk di platform berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button