Berita UtamaDunia

Parlimen Norway lulus resolusi iktiraf Palestin negara merdeka

Usul diluluskan dengan majoriti besar di Parlimen

OSLO, 3 Jamadilawal 1445H, Jumaat – Parlimen Norway meluluskan resolusi yang menggesa kerajaan supaya bersedia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka.

Cadangan itu dibuat pada Khamis oleh gabungan pemerintah sebagai tambahan kepada resolusi oleh parti-parti kecil yang menggesa pengiktirafan segera negara Palestin.

Usul itu diluluskan dengan majoriti besar di Parlimen.

Dokumen itu berkata, resolusi itu meminta kerajaan membuat persediaan mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka kerana pengiktirafan itu boleh memberi kesan positif kepada proses damai, tanpa menjadikan ‘perjanjian damai’ (antara dua pihak) sebagai syarat terakhir.

Meskipun pengiktirafan itu mungkin tidak berlaku masa terdekat, tetapi ia merupakan tanda kebimbangan terhadap perang Gaza dalam perhimpunan kebangsaan di seluruh Eropah.

Iceland, Sweden, Poland, Republik Czech dan Romania adalah antara negara yang telah memberikan pengiktirafan kepada negara Palestin.

Di Sepanyol, Perdana Menteri Pedro Sanchez, yang telah diundi semula berkuasa pada Khamis, memberitahu Parlimen, dia akan berusaha ke arah pengiktirafan Palestin oleh negaranya, termasuk Eropah.

Sejak 7 Oktober, beribu-ribu orang telah turun ke jalanan di seluruh Eropah sebagai solidariti kepada rakyat Palestin di tengah-tengah serangan udara ganas Israel di Semenanjung Gaza yang terkepung.

Manakala Kem Barat – Amerika Syarikat, Britain, Jerman, dan Perancis, pula sebaliknya telah menawarkan ‘sokongan teguh’ kepada Israel. 

Terdahulu, Norway juga merupakan salah satu daripada beberapa negara Barat yang telah menyokong tuntutan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan gencatan senjata.

Negara itu juga telah menyatakan dengan jelas bahawa serangan Israel yang telah membunuh dan mencederakan beribu-ribu orang awam dan kanak-kanak sangat melampaui batas dan melanggar ‘Rule of Law’. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button