Berita Utama

PAS gesa Anwar kawal ‘naratif beracun’ DAP

Tidakkah pilihan raya PBT zahirkan citra politik etnik tunggal?

BANGI, 6 Jamadilakhir 1445H, Selasa – PAS menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengawal dan menghentikan ‘naratif beracun’ seperti yang dibawa oleh DAP antaranya untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan isu perdana menteri bukan Melayu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, naratif politik yang dibawa oleh veteran DAP didapati tidak wajar dan berpotensi mencetuskan ketegangan serta suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

Hakikat bahawa ia dibangkitkan oleh pemimpin kanan sebuah parti yang merupakan komponen kerajaan juga menimbulkan kecelaruan dan syak wasangka terhadap dasar dan hala tuju kerajaan sendiri, sekali gus menghakis tahap kebolehpercayaan terhadap kepimpinannya.

“Naratif terbaru yang dibawa DAP adalah gesaan Pengerusi DAP Kuala Lumpur yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai supaya kerajaan mengembalikan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur.

“…Sebagai bekas anggota kerajaan dalam pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, Tan perlu lebih peka dan sensitif terhadap pendirian serta dasar kerajaan semasa, bukan sebaliknya.

“Kecuali kenyataan itu juga merupakan suatu sandiwara DAP dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut memegang watak penting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, cadangan Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mengenai perdana menteri bukan Melayu serta impian sebuah negara hebat yang berbilang kaum, budaya dan kepercayaan, bukan negara etnik tunggal juga mencetuskan kegemparan.

Berbeza dengan Lim yang menyebut ucapannya itu hanyalah pernyataan fakta, bukan realiti, Takiyuddin berkata, Tan tidak pula meletakkan caveat kepada gesaannya itu walaupun Nga ketika menjawab pertanyaan di Parlimen pada awal tahun ini menegaskan bahawa pilihan raya PBT bukan keutamaan kerajaan pada masa ini.

“Jika diteliti lebih dekat, walaupun kedua-dua kenyataan Tan dan Lim dihiasi dengan kata-kata dan idea muluk tentang negara atau bandar raya hebat bertaraf dunia, ‘multiculturalism’, demokrasi, kecekapan pentadbiran dan sebagainya.

“…namun gesaan Tan ternyata bercanggah dengan penolakan Lim terhadap citra politik etnik tunggal yang menjadi teras kepada impian perdana menteri bukan Melayu penasihat DAP itu.

“Dengan penguasaan hampir mutlak kerusi-kerusi Parlimen di Kuala Lumpur oleh DAP, maka tidakkah pilihan raya PBT juga akan hanya menzahirkan citra politik etnik tunggal dari segi perwakilan yang akan dipilih kelak?” soalnya.

Sehubungan itu katanya, PAS beranggapan kedua-dua kenyataan Tan dan Lim jelas bermotifkan pengukuhan kedudukan dan penguasaan DAP ke atas hala tuju dan perjalanan negara dengan mengabaikan sisi-sisi teras yang selama ini mengikat semua pihak pada agenda dan budaya politik yang lebih waras, sederhana dan munasabah.

Ini semakin mengesahkan kebimbangan banyak pihak, terutamanya orang Melayu terhadap niat sebenar DAP dan sama ada ia jujur dalam menjunjung kepentingan dan keutamaan nasional atau hanya mengutamakan kepentingan ideologi dan parokialismenya.

“Perlu diingat bahawa keputusan kerajaan terdahulu memansuhkan pilihan raya di seluruh negara sejak lebih 50 tahun lepas yang dengan jelas termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 antara lain bertujuan untuk menghindari penguasaan kerajaan tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik.

“Ia bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.

“PAS percaya hikmah dan tujuan penting keputusan itu masih terpakai dan perlu pada hari ini, sekali gus menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengawal dan menghentikan naratif beracun seperti ini kerana mereka yang melupakan sejarah hanya akan mengulanginya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button