Berita Utama

Isham Jalil mahu lawan permohonan dipenjara, denda kerana hina mahkamah

‘Kerajaan pimpinan Anwar sedang goyah, goyang dan terdesak’

BANGI, 24 Jamadilakhir 1445H, Sabtu – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil akan meneliti permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan oleh Peguam Negara kepadanya supaya dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana didakwa menghina mahkamah.

Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, Isham berkata, beliau akan melawan tindakan Peguam Negara di mahkamah.

“Pagi ini, tiba-tiba keluar berita kerajaan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, melalui Peguam Negara ingin memenjarakan saya atas kesalahan kononnya saya telah menghina mahkamah berkenaan kes Datuk Seri Najib.

“Mengikut laporan akhbar, mereka sudah menghantar permohonan ini secara ex-parte ke mahkamah. Saya akan melihat permohonan ex-parte mereka ini,” katanya.

Difahamkan, permohonan Peguam Negara itu dibuat berikutan Isham didakwa mengucapkan kata-kata berbentuk penghinaan mahkamah dalam satu temu bual bertajuk ‘Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ yang disiarkan melalui laman Facebook ‘The Malaya Post’ pada 30 September tahun lalu.

Menurut Peguam Negara melalui permohonannya yang difailkan pada 28 Disember lalu, dalam temu bual berkenaan, Isham yang dinamakan sebagai responden didakwa telah mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan membabitkan Datuk Seri Najib Razak dalam kes berkaitan syarikat SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pemohon (Peguam Negara) berkata, dalam temu bual itu, Isham didakwa mempertikaikan proses pendengaran permohonan penarikan diri (recusal) terhadap Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang menghakimi perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Isham mendakwa, tindakan yang dikenakan ke atasnya itu mungkin kerana Kerajaan Perpaduan terdesak untuk mengekalkan kuasa susulan kerajaan pimpinan Anwar ketika ini didakwa ‘sedang goyah dan goyang’.

“Mungkin dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kuasa mereka akan tangkap dan penjara lebih ramai orang demi kepentingan politik mereka.

“Kali ini giliran saya. Saya akan lawan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button