Berita UtamaDunia

Ribuan rakyat Yaman ‘bangkit’ bersama Palestin

Rakyat di negara Islam lain diajak beri tekanan kepada kerajaan supaya sokong Gaza

SANA’A, 22 Rejab 1445H, Sabtu – Ribuan rakyat Yaman mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh wilayah yang dikuasai Houthi pada Jumaat bagi menyokong rakyat Palestin di Gaza.

Orang ramai turun ke jalan-jalan di pelbagai bandar termasuk bandar yang dikawal oleh kumpulan Houthi, dengan protes utama berlaku di ibu negara Sana’a.

Penunjuk perasaan Yaman pada perhimpunan di Sana’a mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan mengutuk perang Israel ke atas Gaza.

Ketika perhimpunan itu, pemimpin Houthi berikrar untuk terus menyokong rakyat Palestin di Gaza dan mengambil tindakan, menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh kumpulan itu dengan rujukan jelas kepada serangan ke atas kapal komersial yang menuju ke Israel.

Pemimpin Houthi juga menggesa rakyat di negara-negara Islam memberi tekanan kepada kerajaan mereka supaya mengambil pendirian yang jelas dalam menyokong Gaza.

Perhimpunan turut diadakan di Hodeidah di barat Yaman, serta Hajjah dan Saada di wilayah barat laut negara itu, lapor TV Al-Masirah yang dikendalikan Houthi.

Ketegangan semakin memuncak di Laut Merah di tengah-tengah serangan Houthi ke atas kapal komersial yang disyaki mempunyai kaitan dengan Israel.

Kumpulan Houthi berkata, serangan itu bertujuan bagi menekan Israel supaya menghentikan serangan mautnya di Semenanjung Gaza, yang membunuh sekurang-kurangnya 27,131 orang dan mencederakan 66,287 yang lain sejak serangan rentas sempadan 7 Oktober oleh Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Amerika Syarikat dan United Kingdom melancarkan serangan udara terhadap sasaran Houthi di Yaman sebagai tindakan balas terhadap serangan Houthi, yang menimbulkan kebimbangan mengenai serangan inflasi dan gangguan rantaian bekalan baharu.

Laut Merah adalah salah satu laluan laut yang paling kerap digunakan di dunia untuk penghantaran minyak dan bahan api.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button