Berita Utama

Berlagak marsyal, dua lelaki termasuk Datuk serah diri

Dua motosikal berkuasa tinggi turut dirampas

PORT DICKSON, 2 Jamadilawal 1443H, Rabu – Dua lelaki yang dipercayai dirakam terlibat dalam aksi lagak marsyal di jalan awam sudah hadir ke Balai Trafik Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kedua lelaki itu hadir ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada jam 12.45 tengah hari dan 2.30 petang untuk memberi keterangan.

“Kedua-dua lelaki berusia 45 dan 49 tahun dengan seorang daripada mereka berpangkat Datuk bekerja sebagai ahli perniagaan dan ejen insuran hadir ke Balai Trafik sejurus mengetahui aksi mereka dirakam dan ditularkan di media sosial.

“Polis menahan kedua-dua lelaki itu sebaik mereka menyerah diri di Balai Trafik IPD Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aidi berkata, polis merampas dua motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan milik individu yang digunakan kedua-dua marsyal berkenaan seperti yang dirakam dalam video tersebut.

“Pihak polis juga masih menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh terhadap kedua-dua lelaki ini jika wujud lain-lain kesalahan,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan polis mencari kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang berlagak marsyal di jalan awam selepas rakaman video berdurasi tiga minit tular di media sosial.

Rakaman itu menunjukkan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu memberi arahan kepada sebuah kenderaan supaya memperlahankan kenderaannya dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi memberi laluan kepada kumpulan konvoi terbabit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button