Berita Utama

DAP, PAN ‘flip-flop’ punca Tun dan ‘geng’ umum blok bebas?

Kekal bersama warisan, tidak bergabung dengan mana-mana pihak

BANGI, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) didakwa tidak berpegang kepada keputusan menamakan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Sebaliknya, kedua-dua parti telah menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri apabila menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH pada 6 Julai lalu. 

Dalam satu kenyataan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bersama lima lagi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap berpegang dengan hasil keputusan perbincangan pada 25 Jun lalu, antara Warisan, PAN dan DAP untuk menamakan Shafie. 

Dalam perbincangan itu, PAN dan DAP mencadangkan Shafie sebagai calon Perdana Menteri, sementara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri pertama serta kedua. 

“Saya dan rakan-rakan dari Bersatu telah bersetuju dan menyokong cadangan tersebut. 

“Mesyuarat 25 Jun 2020, itu telah meminta saya membuat pengumuman mengenai keputusan memilih Datuk Seri Shafie dan saya telah lakukan pada 27 Jun 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Kenyataan itu dikeluarkan bersama lima lagi Ahli Parlimen Bersatu iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amirudin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Shahruddin Md Salleh ( Sri Gading). 

Dr Mahathir berkata, bagi pihak mereka, mencalonkan Datuk Seri Shafie sebagai Perdana Menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil.

“Ia bukan sahaja kerana kita percaya dia akan berkeupayaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tetapi juga satu langkah ke hadapan demi mempertingkat hubungan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak,” katanya. 

Dalam kenyataan sama, bekas Pengerusi PH itu turut memutuskan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen, selain memaklumkan tidak bersama dengan mana-mana gabungan. 

“Kami juga menentang sebarang usaha untuk menggantikan Speaker dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menubuh kerajaan yang tidak dipilih rakyat. 

“Kami masih utama perjuangan kami iaitu menolak kembalinya kerajaan kleptokrasi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button