Berita UtamaDunia

Israel luluskan projek bina 700 unit penempatan haram

Gesaan serangan ganas ke atas penduduk Palestin lebih agresif

TEL AVIV, 28 Jamadilakhir 1445H, Rabu – Pihak berkuasa Israel meluluskan projek membina kira-kira 700 unit peneroka haram baharu di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, walaupun terdapat bantahan antarabangsa terhadap dasar rampasan tanah rejim Tel Aviv di wilayah Palestin.

Ir Amim, kumpulan pemerhati Israel yang menjejaki penempatan memaklumkan, rejim telah menerbitkan kelulusan terhadap rancangan penempatan Givat Shaked untuk 695 unit rumah di tanah di kawasan kejiranan Palestin Beit Safafa.

Kelulusan terbaru itu dibuat ketika rejim Israel dan peneroka pelampau meningkatkan serangan ganas ke atas penduduk Palestin dan aktiviti penempatan.

Rejim dalam beberapa bulan kebelakangan ini juga telah meningkatkan perobohan rumah penduduk Palestin yang disyaki melakukan serangan ke atas warga Israel.

Beratus-ratus rakyat Palestin telah terbunuh dan ribuan yang lain cedera di seluruh wilayah yang diduduki sejak bermulanya perang.

Peperangan Israel untuk ‘menghapuskan’ Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) selepas Operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober, yang membunuh lebih 23,000 orang awam di Semenanjung Gaza, tidak lagi terhad di wilayah yang dikepung.

Ketika semua mata tertumpu pada Gaza, rejim Israel telah mengetatkan cengkamannya di Tebing Barat yang diduduki, melakukan serangan maut dan serbuan ke atas kawasan perumahan dan hospital.

Dalam insiden keganasan terbaharu pada hari Selasa, tentera Israel membunuh tiga lagi rakyat Palestin semasa serbuan ke atas bandar Tulkarm Tebing Barat yang diduduki.

Satu mogok umum telah diumumkan di Tulkarm pada hari Selasa. Seorang lagi warga Palestin turut ditembak mati oleh tentera pendudukan Israel di utara Ramallah.

Tentera dan peneroka Israel telah membunuh kira-kira 340 rakyat Palestin di Tebing Barat sejak 7 Oktober. Mereka juga menculik lebih 4,500 rakyat Palestin sejak perang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button