Berita UtamaDunia

Politik Lubnan goyah, 3 menteri, 11 ahli politik letak jawatan

Jika satu pertiga Kabinet undur diri, Lubnan adakan pilihan raya

BEIRUT, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Seramai 11 ahli politik Lubnan termasuk tiga menteri mengundurkan diri berikutan letupan maut di pelabuhan Beirut minggu lalu.

Menteri Alam Sekitar, Damianos Kattar dan Menteri Penerangan, Manal Abdel Samad kedua-duanya mengemukakan peletakan jawatan mereka, semalam.

“Setelah bencana besar di Beirut, saya mengumumkan pengunduran diri saya dari kerajaan,” kata Abdel Samad dalam satu kenyataan di televisyen.

Kattar yang dilaporkan menjadi penasihat Perdana Menteri yang mengundur diri menggelar sistem politik ‘lama’, dan mendakwa ahli politik telah kehilangan banyak peluang untuk melakukan reformasi.

Sementara itu, Menteri Kehakiman, Marie-Claude Najm menjadi anggota Kabinet terbaharu yang mengundurkan diri pagi tadi.

Di bawah undang-undang Lubnan, jika satu pertiga anggota Kabinet mengundurkan diri, kerajaan ketika itu akan menjadi pentadbiran sementara, ketika menunggu pilihan raya.

Dalam pada itu, tujuh lagi penggubal undang-undang – Paula Yacoubian, Samy Gemayel, Marwan Hamadeh, Neamat Efrem, Nadim Gemayel, Elias Hankash dan Michel Moawad – mengundur diri selepas berlakunya letupan itu – pengunduran lebih banyak dijangka minggu ini.

Al Arabiya melaporkan, Dima Jamali – anggota Parlimen dari parti Parti Politik Gerakan Masa Depan – merancang untuk mengundur diri hari ini, dengan potensi anggota blok lain mempertimbangkan untuk melakukan hal sama.

Jumaat lalu, Menteri Dalam Negeri Lubnan, Mohammed Fahmi mengugut untuk meletakkan jawatan sekiranya nama pihak yang bertanggungjawab untuk letupan pada Selasa tidak disiarkan pada hari akhir siasatan, lapor Al-Joumhouria.

Selasa lalu, dua letupan kuat menggegarkan Beirut pada jam 6 petang waktu tempatan.

Ia dikatakan berpunca daripada ammonium nitrat yang disimpan di gudang di kawasan pelabuhan.

Impaknya menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan lain yang terletak beberapa kilometer dari lokasi letupan itu.

Beberapa bangunan di sekitarnya termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri turut musnah serta mengalami kerosakan teruk.

Letupan kedua menyebabkan bola api ke udara yang turut menggegarkan bandar, menyebabkan pecahan tingkap tersebar sehingga beberapa kilometer.

Malah, letupan berkenaan boleh dirasai sehingga ke Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer dari lokasi kejadian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button