Berita UtamaDunia

Kejam! Zionis musnah penempatan Palestin buat kali ke-177

Usaha teruskan rancangan luaskan penempatan haram Yahudi

BAITULMAQDIS,9 Muharram 1442H, Jumaat – Rejim pengganas Israel sekali lagi bertindak kejam apabila mengusir sebelum memusnahkan ratusan kediaman milik penduduk Palestin untuk kali ke-177.

Tindakan biadab yang dilakukan semalam, di wilayah Negev itu sebagai desakan penyitaan tanah Palestin bagi meneruskan rancangan untuk meluaskan penempatan haram Yahudi.

Dalam kejadian itu, jentolak Yahudi yang dikawal ketat oleh rejim Zionis telah menyerbu kampung al-Araqib dan merobohkan semua khemah serta rumah sementara penduduk Palestin.

Ini mengakibatkan kanak-kanak dan golongan warga emas turut kehilangan tempat berteduh, lapor Pusat Maklumat Palestin.

Al-Araqib dihuni oleh kaum Arab Badwi al-Turi, yang tidak dikenali oleh rejim Zionis.

Sejak Januari lalu, rejim Zionis telah memusnahkan penempatan di kampung itu sebanyak lima kali, manakala yang terakhir adalah pada 5 Mac.

Kampung itu yang diduduki kira-kira 220 penduduk pada awalnya dirobohkan pada 27 Julai 2010, namun ia telah dibangunkan semula beberapa kali oleh penduduk dan aktivis.

Pembinaan semula penempatan itu adalah bagi mencabar usaha rejim Zionis yang beberapa kali mengusir penduduk dari tanah asal mereka.

Sementara itu, Tel Aviv pada Rabu telah mengeluarkan perintah untuk memusnahkan tiga rumah serta arahan untuk menghentikan operasi pembinaan enam rumah di bandar Nahalin, di Barat Bethlehem.

Secara berasingan pada hari sama, Israel turut menghalalkan rampasan 525 tanah milik Palestin, selain menjadikannya sebagai hak milik dan harta Yahudi, lapor Pusat Maklumat lagi.

Perintah itu dikuatkuasakan setelah mahkamah Israel menolak semua dokumen diajukan oleh penduduk Palestin, yang sememangnya membuktikan pemilikan tanah mereka ke atas kawasan dilampirkan.

Lebih setengah juta penduduk haram Yahudi tinggal di lebih dari 230 penempatan yang dibina sejak penjajahan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur pada 1967.

Penempatan Yahudi itu dikecam oleh masyarakat antarabangsa yang menyifatkannya sebagai haram.

Rakyat Palestin menginginkan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada negara merdeka pada masa depan dengan Baitulmaqdis al-Quds sebagai ibu negaranya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button