Berita Utama

Sifat sebagai parti ‘lemas’, PAS tolak kerjasama PKR

Fokus selamat rakyat, negara menerusi kerjasama antara UMNO, Bersatu

BANGI, 5 Syaaban 1442H, Jumaat – PAS kekal dengan pendirian untuk tidak mengulangi kerjasama dengan PKR.

Bahkan PAS juga tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bermatlamat menyelamatkan individu atau kumpulan, tegas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, PAS telah mempunyai pengalaman yang agak luas dalam menjalinkan kerjasama dengan PKR sebelum ini.

“(Kerjasama) PKR, DAP kita berpengalaman sejak 1998, 1999 hingga beberapa tahun, dalam 20 tahun, jadi cukup (kerjasama), dia (PKR) lemas, jadi biar dia selesaikan masalah mereka.

“Kita di Perikatan Nasional (PN) berada dalam keadaan selamat dan fokus kita untuk menyelamatkan rakyat dan negara menerusi kerjasama antara UMNO dan Bersatu menerusi PN.

“Kerjasama kita di PN semakin hari semakin kuat dan kerjasama kita yang baharu adalah Bersatu dan UMNO termasuk rakan-rakan di Sabah dan Sarawak serta parti-parti yang bergabung dengan PN,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Ditanya kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan UMNO, Abdul Hadi berkata, terpulang pada Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO.

“Itu terpulang pada dia, bukan parti saya kerana kita negara demokrasi dan dia boleh bekerjasama dengan mana-mana parti yang berdaftar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden PKR tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan UMNO walaupun perbincangan mengenainya masih belum dilakukan secara formal.

Anwar dilaporkan berkata, kerjasama itu disokong beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen daripada UMNO, dan ia akan menjadi kenyataan jika parti terbabit tekad memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button