Dunia

10 terbunuh dalam kejadian tembakan di pasar raya di New York

3 lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan

WASHINGTON, 14 Syawal 1443H, Ahad – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan tiga lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di pasar raya di bandar Buffalo, New York pada Sabtu, menurut Jabatan Polis Buffalo.

Kejadian berlaku di Tops Markets di Jefferson Avenue, lapor Agensi Anadolu.

Suspek lelaki berkulit putih berusia 18 tahun berjaya ditahan, kata Pesuruhjaya Polis Buffalo Joseph Gramaglia dalam sidang media.

Gramaglia berkata 11 mangsa terdiri mereka yang berkulit hitam, manakala dua lagi berkulit putih.

FBI menyiasat kejadian itu sebagai jenayah ekstremisme ganas bermotifkan perkauman.

Penembak itu lengkap bersenjata serta memakai peralatan taktikal.

“Suspek turut dilengkapi kamera yang menyiarkan segala tindakannya secara langsung,” kata Gramaglia.

Senator New York Chuck Schumer, mengutuk serangan itu serta menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa.

“Saya bersedih bagi mangsa dan keluarga mereka. Sifat perkauman tidak mempunyai tempat di negara kita. Saya telah bercakap dengan Datuk Bandar Buffalo dan menawarkan sebarang bantuan yang boleh dihulurkan,” menerusi ciapannya di Twitter. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button