Berita Utama

Menteri Agama akan pertahan dasar beri manfaat pada umat Islam

Beri jaminan Kabinet akan perhalusi RUU 355

BANGI, 14 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar memberi jaminan apa sahaja dasar sebelum ini yang memberi manfaat kepada umat Islam akan terus dipertahankan.

Ia termasuk Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

“Saya hendak tekankan di sini bahawa apa sahaja dasar sebelum ini yang banyak beri manfaat kepada agama Islam serta rakyat akan terus kita pertahan dan diteruskan,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Beliau menegaskan perkara itu ketika mengulas masa depan kepada pindaan akta berkenaan.

Mohd Na’im turut memberi jaminan bahawa Kabinet akan memperhalusi Rang Undang-Undang RUU 355, namun akan dibawa untuk dibincangkan teliti dalam Kabinet kerana keputusan dibuat secara kolektif.

Menurutnya, pada dasarnya pembentangan RUU 355 adalah amat positif kerana ia sebahagian daripada usaha memartabatkan kuasa mahkamah syariah seluruh negara.

RUU 355 sepatutnya dibentangkan untuk pindaan pada persidangan hujung Oktober lalu, namun terbantut susulan pembubaran Parlimen.

Draf pindaan kepada akta berkenaan bagaimanapun sudah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober lepas.

RUU 355 dibentangkan di Dewan Rakyat buat pertama kali pada 26 Mei 2016 oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button