Berita Utama

PRN: PAS bincang tarikh sesuai dengan 3 negeri pimpinan PH

Rancang adakan pertemuan dalam masa terdekat bersama KM, MB

BANGI, 7 Rejab 1444H, Ahad – PAS akan mengadakan pertemuan dengan tiga pimpinan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu akan menghubungi pimpinan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya sendiri belum memutuskan tarikh PRN sehingga perbincangan dilakukan bersama pimpinan negeri yang lain.

“Apabila saya berada di Kuala Lumpur, saya boleh telefon atau WhatsApp mana-mana Yang Amat Berhormat (ketua menteri dan menteri besar) dan kita berjumpa, begitu sahaja tapi itu yang secara tidak rasmi,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu.

Sebelum ini Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan membuat keputusan sendiri berhubung tarikh PRN bagi tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Ahli Parlimen Marang itu juga akan menyerahkan kepada PH sama ada membubarkan DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serentak dengan tiga negeri pentadbiran PAS atau sebaliknya.

PRN di enam negeri dicadang diadakan serentak untuk mengurangkan perbelanjaan pilihan raya serta memberi impak lebih besar sama seperti pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua pihak terlibat perlu memastikan pilihan raya nanti berjalan dengan teratur supaya rakyat dapat turun mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi dalam meraikan demokrasi.

Pembubaran DUN secara serentak di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan dilihat wajar kerana akan memudahkan pengundi mendapatkan cuti.

Selain itu, ia memastikan kos mengadakan PRN di semua negeri tidak terlalu tinggi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button