Berita Utama

Terengganu tak bubar DUN dalam masa terdekat

Rundingan agih kerusi dengan Bersatu dua minggu lagi

KUALA TERENGGANU, 21 Rejab 1444H, Ahad – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tiada keperluan Terengganu membubarkan DUN dalam masa terdekat berikutan umat Islam tidak lama lagi bakal menyambut Aidilfitri, April depan.

Beliau menegaskan, pembubaran DUN adalah hak mutlak kerajaan asalkan tidak melebihi tempoh penggal dan tempoh penggal DUN Terengganu pula adalah akhir Jun depan.

“Setiap negeri dikuasai PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh memberi tarikh untuk pembubaran DUN asalkan tidak melebihi tempoh penggal.

“Paling penting Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat untuk menentukan tarikh paling sesuai untuk diadakan memberikan laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Naib Presiden PAS itu berkata, DUN kemungkinan akan dibubar sebelum tempoh penggal berakhir Jun.

“Kita berpendapat Terengganu mungkin akan bubarkan DUN sebelum tempoh penggal berakhir pada akhir Jun bagi membolehkan PRN diadakan Julai depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan perundingan bersama Bersatu untuk agihan kerusi sepatutnya diadakan Selasa lalu namun ditangguhkan dan akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat.

“Pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan adakan pertemuan untuk rundingan agihan kerusi dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button