Berita Utama

Muhyiddin harap ‘Langkah Pelangai’, tubuh kerajaan tebuk atap

PN perlu empat 'katak politik' dari BN-PH untuk jadi kerajaan Pahang

BANGI, 18 Rabiulawal 1445H, Rabu – Perikatan Nasional (PN) memerlukan tiga atau empat ‘katak politik’ yang melompat keluar daripada gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) jika ‘mengimpikan’ untuk membentuk kerajaan negeri di Pahang.

Demikian sindir veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad terhadap hasrat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan negeri Pahang jika calonnya, Kasim Samat menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Beliau berkata, harapan itu hanya mampu direalisasikan sekiranya empat ADUN BN atau PH keluar daripada parti.

“Sekarang Tan Sri Muhyiddin mengharapkan pula kepada ‘Langkah Pelangai’ sama seperti ‘Langkah Sheraton’ bagi menubuhkan sebuah kerajaan ‘tebuk atap’.

“Tan Sri Muhyidin asyik berharap untuk ‘tekan butang’?” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata, PRK Pelangai perlu dijadikan tempat untuk rakyat, khususnya pengundi Melayu memberikan isyarat jelas untuk mengubah kerajaan negeri.

“Tambah satu (Pelangai) jadi 18 (kerusi dimenangi PN di Pahang) kurang empat (untuk bentuk kerajaan negeri)… kot kot bangun esok pagi ada ahli yang berhormat UMNO kata eh aku silap dekat situ masuk jemaah kita.

“Menteri besar kita ada dekat sini, Datuk Seri Tuan Ibrahim insya-Allah bakal Menteri Besar Pahang,” katanya.

PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.

Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN; Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (calon PH – 2,031 undi) dan Isa Ahmad (calon Pejuang – 65 undi).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button