Dunia

545 bangunan bersejarah di Istabul dijadikan tahan gempa

Ambil iktibar tragedi gempa bumi dahsyat Februari lalu

ANKARA, 8 Ramadan 1444H, Khamis – Sebanyak 545 bangunan bersejarah di Istanbul, Turkiye telah dipulihkan bagi menahan gempa bumi susulan tragedi gempa bumi Izmit pada tahun 1999.

Direktorat Am Yayasan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan berjaya memulihkan 300 bangunan manakala Perbandaran Metropolitan Istanbul memulihkan 245 bangunan.

Selepas dua gempa bumi dahsyat menggegarkan Turkiye pada 6 Februari lalu, kemusnahan yang berlaku di 11 wilayah, bangunan-bangunan berkenaan mula menarik perhatian pihak berkuasa.

Di bawah Direktorat Am Yayasan, bangunan seperti masjid, air pancut, muzium, perpustakaan serta makam terus dipulihkan mengikut panduan pengurusan risiko gempa bumi bagi struktur sejarah.

Hampir 1.3 bilion lira Turkiye (RM300 juta) telah dibelanjakan untuk pemulihan dan pengukuhan bangunan bagi menahan gempa bumi.

Sementara itu, Perbandaran Metropolitan Istanbul melaksanakan penyelenggaraan dan pembaikan tempat bersejarah di Istanbul bersama pakar menggunakan pembalut polimer bertetulang gentian untuk beberapa dinding struktur bersejarah seperti Yedikule Gasworks.

Penegang keluli juga digunakan untuk menjadikan struktur seperti Basilica Cistern tahan gempa bumi.

Kerja-kerja pemulihan diteruskan pada 33 bangunan bersejarah, termasuk Istana Rumeli Hisarı. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button