90 peratus rakyat Syria hidup di bawah paras kemiskinan
ICRC rayu negara penderma lindungi infrastruktur kritikal, perkhidmatan penting

GENEVA, 26 Zulkaedah 1444H, Khamis – Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menganggarkan kira-kira 90 peratus rakyat Syria hidup di bawah paras kemiskinan dengan lebih 15 juta memerlukan bantuan kemanusiaan.
ICRC berkata, keadaan itu menunjukkan satu trend yang berterusan sejak beberapa tahun lalu.
“Masyarakat antarabangsa mesti menghadapi realiti bahawa situasi semasa di Syria tidak dapat dipertahankan.
“Kegagalan untuk bertindak akan membawa akibat buruk bagi semua yang terlibat dan menghalang sebarang prospek pemulihan yang mampan,” kata Pengarah Serantau ICRC untuk Timur Tengah, Fabrizio Carboni seperti dipetik Anadolu Agency.
Rentetan itu, ICRC merayu komitmen antarabangsa segera daripada negara penderma bagi melindungi infrastruktur kritikal dan perkhidmatan penting.
Jawatankuasa itu juga menggesa tindak balas kemanusiaan menyeluruh dapat dikekalkan, dan penyelesaian yang lebih tahan lama boleh ditemui.
“Usaha yang diselaraskan dan peningkatan pembiayaan amat diperlukan untuk memudahkan pemulihan awal,” katanya.
Syria terperangkap dalam perang saudara sejak awal 2011 apabila rejim Bashar al-Assad bertindak keras terhadap protes prodemokrasi dengan keganasan yang tidak dijangka. – Agensi