Berita Utama

SPRM siasat dakwaan budaya rasuah babit penguat kuasa di KLIA

Jangan buat spekulasi, Azam Baki janji siasatan dibuat sewajarnya

BANGI, 12 Zulhijjah 1444H, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung isu rasuah membabitkan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak dan menyiasat perkara itu sewajarnya.

“Oleh itu, kami menggesa orang ramai agar tidak mensensasikan atau membuat spekulasi mengenai perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, King Sing mengakui beliau merupakan individu yang dilaporkan terbabit dalam kekecohan di ruang ketibaan antarabangsa KLIA.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bintulu itu menafikan tuduhan bahawa kekecohan itu timbul kerana beliau menuntut Jabatan Imigresen membebaskan pelawat dari China.

Sebaliknya beliau berkata, kehadirannya di KLIA telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Selain itu, King Sing turut menggesa SPRM melakukan operasi besar-besaran di KLIA bagi meneliti realiti sebenar di pintu masuk utama negara.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2023/07/01/tuduhan-tiong-king-sing-betul-betul-luar-tabii/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button