Berita Utama

Wakil rakyat pembangkang terkesan tiada peruntukan sejak lapan bulan lalu

Terpaksa guna wang simpanan biayai operasi, urus pusat khidmat dan sumbangan

BANGI, 19 Zulhijjah 1444H, Sabtu – Tindakan kerajaan tidak memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang memaksa mereka menggunakan wang simpanan dan gaji bagi membiayai kos operasi, pengurusan pusat khidmat serta sumbangan kepada rakyat yang memerlukan.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui terkesan berikutan sudah lapan bulan selepas Belanjawan 2023 yang dibentangkan tidak menyatakan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.

“Kami gunakan simpanan dan gaji kami untuk membiayai ‘overhead’, untuk pengurusan pusat khidmat dan juga memberi sedikit sumbangan kepada rakyat yang memerlukan.

“Sebenarnya semua Ahli Parlimen pembangkang ini terkesan sebab sudah lapan bulan tiada peruntukan tambahan daripada kerajaan.

“Malah yang terkesan paling teruk adalah rakyat yang terdiri daripada pengundi Melayu, sudah dua raya tidak dapat peruntukan dari kerajaan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan tabung sudah semakin ‘kering’ kerana kos operasi terutama bantuan kepada rakyat di Parlimen masing-masing perlu diteruskan.

Justeru, beliau menyifatkan perbuatan berkenaan yang memberi kesan kepada rakyat sebagai tindakan zalim menganiaya pengundi.

Katanya, sepatutnya bantuan boleh disalurkan (contohnya) kepada pejabat daerah supaya apa-apa masalah yang membabitkan rakyat di Parlimen dibantu.

“Kami boleh minta rujuk kepada pegawai daerah dan akaun itu kita audit sama-sama,” katanya.

Ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi manifestonya, berjanji mengagihkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama kepada semua Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, peruntukan itu tidak disebut oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

Pada Mac lalu, Anwar pula berkata beliau mengusulkan pembangkang memulakan proses rundingan dengannya bagi membincangkan isu ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button