Berita Utama

BERJASA mahu perbetul semula kerosakan sistem politik negara

Tonjolkan muka baharu, kepimpinan berwatak kewibawaan dan beragenda

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 6 Muharram 1445H, Isnin – Parti BERJASA bertekad untuk membawa satu kepimpinan baharu yang akan memperbetulkan semula kerosakan sistem politik negara, selaras agenda ‘Impian Nasional 2040’.

Presiden BERJASA, Haji Zamani Ibrahim menjelaskan, sistem politik ini adalah untuk membina negara ke hadapan dengan membawa muka-muka baharu dan kepimpinan berwibawa dengan menumpukan agenda negara serta kepentingan rakyat.

Beliau menegaskan, BERJASA mahu kepimpinan bersifat tamak haloba, menghina antara satu sama lain dan menjadikan medan Parlimen seperti ‘zoo negara’ dihentikan.

“Ini bentuk politik yang kita nak bawa dan politik benar-benar berada di atas teras landasan yang bersih, suci bukan politik demi keuntungan kekayaan, keuntungan projek dan puak-puak, tetapi demi keuntungan maslahah negara itu sendiri.

“Dan mestilah kepimpinan itu wataknya yang ada wawasan. Inilah yang BERJASA nak bawa.

“Rakyat di luar sana muak, sebut sahaja politik yang muncul di kaca TV, watak yang serupa orang dan pemimpin yang sama, kadangkala terfikir oleh rakyat kalau inilah mukanya, apakah perubahan yang mampu dibawa oleh pemimpin ini,” katanya dalam video dimuat naik di Facebook, hari ini.

Zamani berkata, negara perlu meletakkan barisan yang berwibawa, bersih dan muka baharu yang segar serta berfikiran jauh ke hadapan seperti mana disasarkan BERJASA akan datang.

Katanya, BERJASA akan mengetengahkan solusi-solusi yang baik untuk negara supaya kita dapat meletakkan politik dan kepimpinan di landasan sebenar.

“Akan lahir nanti satu budaya yang saling hormat-menghormati, budaya yang akan bercakap mengenai agenda titik noktah mengenai kepentingan negara walaupun parti berbeza-beza.

“…dengan keterbukaan, kebersamaan membincangkan agenda besar negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button