Berita UtamaIstimewa

Naik helikopter kerajaan, Anwar beri bola tanggung kepada PN

PM perlu belajar stigma negatif ketika pilihan raya, isu sebegini mudah dijadikan 'senjata' pembangkang

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 21 Muharam 1445H, Selasa – Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan helikopter kerajaan ketika menghadiri program di Kedah, baru-baru ini dilihat seperti memberi ‘bola tanggung’ kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, sekiranya dakwaan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menggunakan kemudahan tersebut untuk berkempen disahkan benar, maka jelas tindakan itu salah.

“Ia sepatutnya menjadi isu kerana Perdana Menteri mengangkat hal-hal terkait tatakelola.

“Tapi kalau digunakan hal-hal terkait dengan kerajaan mungkin boleh. Mungkin pergi dalam konteks hal kerajaan tapi terselit hal parti, itu kita kata ‘grey area’ (zon kelabu),” katanya ketika ditemui Ismaweb.net di Ibu Pejabat TV Pertiwi, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, apa yang perlu dilakukan adalah mencari mekanisme bagi memastikan perkara itu tidak berlaku supaya hal yang menyentuh zon kelabu boleh diselesaikan.

“Kalau tidak istilahnya boleh jadi ‘bangau oh bangau’. Siapa juga yang naik nanti Islam tak Islam, ulama tak ulama jadi juga,” katanya.

Terdahulu, kehadiran Anwar ke kawasan luar bandar negeri Kedah, menarik perhatian ramai apabila beliau memilih menggunakan helikopter termasuk ketika menghadiri program di Jeneri dan Kupang.

Tindakan menggunakan helikopter berkenaan turut mendapat kritikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah kempennya apabila menganggap Perdana Menteri sepatutnya boleh menggunakan kenderaan darat lain.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan menyifatkan isu ini bukan perkara baharu memandangkan Anwar sebelum ini turut menggunakan helikopter – yang dimiliki seorang jutawan berasal dari Sungai Petani, Kedah – ketika berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Bagaimanapun katanya, Perdana Menteri perlu belajar daripada stigma negatif mengenai perkara ini.

“Memang benar penggunaan helikopter ke Kedah itu untuk urusan rasmi kerajaan. Tetapi seharusnya (Anwar) tidak menggunakan helikopter. Paling tidak kalau nak cepat gunalah kapal terbang walaupun dikatakan tidak berapa efisien.

“Ini kerana ia boleh dijadikan senjata pembangkang dan kita tahu semasa kempen PRU15 telahpun dijadikan senjata, maka apa beza dengan PRN.

“Seharusnya perkara ini perlu diketahui orang media di PMO itu sendiri supaya stigma negatif ini tidak digunakan, seolah-olah memberi ‘bola tanggung’ kepada PN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button