Artikel Khas

Kes Iki Putra-Nik Elin: Kuasa Mahkmah Syariah akan mengecil?

Impak kes sangat besar, usaha martabat hukum Islam akan makin terhimpit

BERMULA dengan siri pededahan Pengerusi PEMBELA, Lukman Sheriff yang akhirnya disambut pelbagai tokoh termasuk badan-badan berautoriti agama, mantan menteri agama dan sebagainya, di pagi Jumaat yang mulia ini saya ingin ‘echo’ semula apa yang telah mereka ulaskan dengan persoalan-persoalan.

Seperti yang kita semua sudah maklum, baru-baru ini kita telah digemparkan dengan berita bagaimana satu kes mahkamah di mana seorang wanita muslim telah mencabar keabasahan mahkamah Syariah untuk menggubal undang-undang hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah seperti minum arak, berjudi, berzina dan lain-lain.

Ramai yang tak perasan kerana kita semua disibukkan dengan isu politik PRN sehingga tenggelam isu yang akan menjejaskan keabsahan agama Islam. Kita tahu isu politik takkan habis dan selepas ini akan ada pulak pilihanraya kecil di Johor dan negeri-negeri lain pula. Begitulah kitaran hidup rakyat yang “dipaksakan” berfikir dan bercakap soal politik kepartian sahaja.

Impak kes ini sangat besar kerana jika wanita itu menang bermakna mahkamah syariah tidak ada lagi kuasa menentukan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan tersebut. Maka dengan sendirinya kuasa mahkamah syariah akan semakin mengecil dan usaha untuk memartabatkan hukum islam di negara ini akan semakin terhimpit.

Kes ini adalah rentetan daripada kes Iki Putra vs Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mencabar keabasahan Enakmen Jenayah negeri. Dalam kes tersebut, Iki Putra telah menang dan kini dalam proses rayuan oleh pihak MAIS.

Apakah semua ini satu kebetulan atau apa? Saya cenderung mengatakan bahawa ini semua telah dirancang secara teliti oleh mereka yang tidak mahu melihat agama Islam diperkasakan di negara ini. Mereka bukan baru buat perancangan tetapi katanya sejak sepuluh tahun yang lepas.

Cuma yang peliknya kenapa pihak kerajaan sama ada yang sekarang atau yang terdahulu tidak melakukan apa-apa inisiatif supaya usaha-usaha sebegini dapat disekat? Tidak pernah kita dengar pun ahli-ahli parlimen kita berbincang di parlimen berkenaan isu sebegini lebih-lebih lagi isu ‘strategic litigation’ terhadap peruntukan-peruntukan Islam sudah lama bermula dan banyak.

Persoalannya, apakah mereka akan berhenti di sini atau akan berusaha mencabar perkara-perkara lain berkenaan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan? Apa lagi yang bakal dibawa ke mahkamah?

Saya jangkakan mereka akan terus berusaha untuk memastikan kedudukan Islam akan terus dicabar supaya akhirnya satu hari nanti akan terpinggir menjadi tidak lebih dari amalan ritual semata-mata seperti agama-agama yang lain di Malaysia.

Yang sedihnya selepas diasak bertubi-tubi oleh NGO-NGO Islam maka barulah ada kenyataan dibuat oleh Menteri Agama. Saya juga hairan pada “gerakan-gerakan Islam” yang kini berada dalam kerajaan nampaknya tidak begitu prihatin dengan isu ini seolah-olah macam politikus-politikus lain juga.

Bila dah dapat jawatan dan habuan, soal agama dan bangsa dipersetankan begitu sahaja. Apa tidaknya, kita lihat mereka begitu mudah, rela hati dan sentiasa bersedia diperkudakan dengan membuat sidang media menyucikan parti tertentu tetapi membisu dalam soal agama.

Hj Aminuddin Yahaya
Perunding Kanan Politik dan Perundangan ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button