Berita Utama

Kes Nik Elin: Maslahah agama Islam sepatutnya dipelihara, dibela

Pemuda BERJASA bimbang undang-undang syariah kerap dicabar

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Safar 1445H, Selasa – Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan Muda meluahkan kebimbangan berhubung rentetan cabaran terhadap undang-undang syariah, yang mendasari hak asasi manusia mengatasi segalanya.

Dalam isu terbaharu, wujud petisyen difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mencabar 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Hadir ketika sesi perbicaraan kes minggu lalu, Fahmi berkata, hujah mereka berlegar dengan alasan hak kebebasan individu dalam perundangan sivil dan batas-batas syarak bertujuan memelihara manusia. 

“Isu ini sangat terpencil sehingga ramai pihak tidak ambil tahu, tidak sensitif apatah lagi mahu terbabit sebagai pencelah dalam prosiding kes. 

“Kes masih berjalan dan perbicaraan ditangguhkan. Apa yang merisaukan ialah kes ini tidak mendapat perhatian meluas,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau juga kesal kerana kerajaan tidak memberi kesedaran dan memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai cabaran terhadap 20 peruntukan yang mahu dibatalkan.

“Sebab itu Ahli Parlimen, 2/3 daripadanya perlu dipegang oleh Melayu Islam yang bukan liberal untuk bertindak mempertahan dan menambah baik Perlembagaan sedia ada.

“Maslahah agama Islam sepatutnya dipelihara dan dibela. Semoga ada sesuatu yang dapat dilakukan bersama demi mempertahankan maslahah agama pada masa akan datang,” katanya.

Dalam prosiding kes Nik Elin ini, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakilinya berhujah, 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Beliau menghujahkan, peruntukan tersebut tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut.

Bagaimanapun, ramai pihak menentang tindakan Nik Elin kerana implikasi pembatalan kesalahan jenayah syariah ini begitu besar dan dahsyat sehingga boleh meruntuhkan keseluruhan undang-undang jenayah syariah negeri-negeri.

Bahkan, ia boleh menyebabkan enakmen kesalahan jenayah syariah negeri kehilangan taringnya dalam melindungi umat Islam di negara ini.

Semalam, Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Shamrahayu A Aziz dalam rencana disiarkan Berita Harian mengulas sistem perundangan yang wujud di negara ini dan punca kuasa dalam penggubalannya mengikut lunas Perlembagaan.

Beliau berkata, Malaysia secara umumnya mengamalkan dua sistem perundangan, iaitu perundangan pada peringkat Persekutuan dan peringkat negeri. 

Jelasnya, kuasa menggubal undang-undang peringkat Persekutuan adalah di Parlimen, manakala kuasa perundangan negeri tertakluk kepada hak Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kuasa Perundangan pada kedua-dua peringkat kerajaan ini ditetapkan Perlembagaan, iaitu undang-undang tertinggi negara dan dinyatakan pada Jadual Kesembilan.

“Semua senarai perundangan ini menyatakan butiran atau undang-undang boleh digubal badan perundangan Persekutuan atau negeri, manakala undang-undang membabitkan butiran dalam Senarai Bersama boleh digubal mana-mana badan perundangan terbabit.

“Bermakna, Parlimen atau DUN boleh membuat undang-undang mengenai butiran dinyatakan dalam senarai bersama, namun jika berlaku percanggahan antara undang-undang Persekutuan dan negeri, maka undang-undang Persekutuan mengatasi undang-undang negeri,” katanya.

Berita berkaitan:

Mahkamah Persekutuan dengar cabaran 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button