Berita Utama

MCCBCHST jangan gugat keharmonian agama

i-Guru sokong pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

BANGI, 8 Safar 1445H, Jumaat – Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) tidak harus campur tangan dalam urusan agama Islam yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Perkara 3.

Terdahulu, MCCBCHST menyatakan ‘kebimbangan mendalam’ terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam mempelajari modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang diperkenalkan di setiap sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Pertubuhan itu mendakwa, Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia daripada mengambil arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Menyangkal kenyataan itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Ustaz Mohd Azizee Hasan menegaskan, tindakan MCCBCHST boleh menggugat keharmonian kaum dan agama serta melanggar titah ke bawah Duli Yang di-Pertuan Agong supaya tidak menyentuh hal yang berkaitan 3R (agama, raja dan kaum).

“Jangan sesekali campur tangan urusan agama Islam yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Perkara 3 Islam sebagai agama persekutuan dan hal ehwal agama yang terletak dibawah kuasa Sultan dan Raja- Raja,” katanya.

Sebelum ini KPM melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Modul itu akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah di bawah KPM tahun depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, modul yang akan diperkenalkan itu adalah untuk pelajar Islam sahaja.

Menyokong usaha KPM, Ustaz Azizee berkata, pihaknya akan mempertahankan usaha kementerian sebagai kaedah pengukuhan kefahaman Islam kepada murid- murid yang beragama Islam sahaja.

“Semua pihak perlu menyokong hasrat murni ini berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

“Justeru, i-Guru menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan tegas kepada mana- mana pihak yang menimbulkan isu- isu yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama.

“Ini bagi menjamin semua pihak patuh dan akur dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan dan menjunjung prinsip Rukun Negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button