Berita Utama

Dakwa tiada perancangan ekonomi baik, MB Perlis bidas Rafizi

Kerajaan negeri bukan terus 'tadah tangan' meminta semata-mata

BANGI, 9 Safar 1445H, Sabtu – Kerajaan Perlis menafikan negeri tersebut hanya berterusan ‘menadah tangan’ meminta peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pentadbirannya mempunyai pembangunan ekonomi tersendiri dan banyak sektor di negeri itu diteroka dalam menjana ekonomi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada Pusat.

“Kerajaan negeri mempunyai pembangunan ekonomi tersendiri dan tidak hanya terus ‘menadah tangan’ meminta kepada Kerajaan Persekutuan semata-mata.

“Namun tak semestinya dengan meminta peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan menjadikan negeri ini tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.

“Lagipun, sumbangan peruntukan kepada negeri ini adalah satu amalan yang bukan baru dan kebergantungan kerajaan negeri Perlis khususnya kepada kerajaan Pusat pula adalah berdasarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negara,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Perlis tidak mempunyai perancangan ekonomi yang baik.

Beliau dilaporkan berkata, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis hanya tahu meminta peruntukan yang lebih tinggi tanpa usaha merancang dan menjana ekonomi negeri sendiri.

Malah, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, terdapat enam negeri diberikan keutamaan pada setiap kali belanjawan, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang mendapat lebih 50 peratus daripada peruntukan pembangunan.

Mohd Shukri berkata, amalan memberikan peruntukan telah dilakukan sejak sekian lama hampir 70 tahun.

“Dan kena ingat juga, selama ini kerajaan lain (Barisan Nasional) yang mentadbir negeri ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button