Berita Utama

Ditegur RSF, Fahmi Fadzil memalukan negara

Tiada erti kemerdekaan ke-66 jika kebebasan media disekat

BANGI, 18 Safar 1445H, Isnin – Sikap Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memalukan nama negara selepas dikecam hebat Reporters Without Borders (RSF).

Sebelum ini, Pengarah biro Asia-Pasifik RSF, Cédric Alviani menggesa Fahmi menghentikan sekatan terhadap laman berita dalam talian.

Katanya, RSF sangat bimbang dengan gelombang sekatan oleh pihak berkuasa Malaysia, tanpa penjelasan atau dibawa ke mahkamah, berkait laman web berita yang kritikal terhadap kerajaan.

Alviani berkata, tindakan seperti itu hanya akan memudaratkan demokrasi di Malaysia.

Ekoran itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris menggesa Menteri Komunikasi dan Digital menjawab secara terbuka kepada pengamal media di negara ini berhubung perkara itu.

“Memalukan sehingga badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kebebasan media berpangkalan di Paris, Perancis, RSF mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang telah menyekat kebebasan media di negara ini.

“Menteri Komunikasi dan Digital harus bertanggungjawab dalam hal ini!” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razali menegaskan, tidak ada erti kemerdekaan ke-66 sekiranya kebebasan media disekat-sekat atas alasan fitnah, subversif kononnya menjatuhkan atau memburukkan kerajaan serta tohmahan.

Bahkan baginya, tidak ada erti Malaysia menduduki tangga ke-73 daripada 180 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia RSF 2023 jika kebebasan itu dihalang sesuka hati.

“Menteri Komunikasi dan Digital ala Madani ini mungkin tidak faham apa sebenarnya erti kebebasan media dan perjuangan suara media.

“Terutama dalam membina pembangunan minda rakyat yang lebih berani, telus, berpaksikan kepada kebenaran dan menerima apa jua pandangan secara terbuka.

“Mohon penasihat media kepada menteri di pejabat menterinya, Ketua Pengarah Penyiaran RTM mahupun Ketua Pengarang Bernama memberi taklimat khusus kepada menterinya yang masih terkial-kial akan skop tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button