Berita Utama

PRK: Polis terima 28 laporan

Empat kes babit isu 3R, dua disiasat di Bukit Aman

JOHOR BHARU, 19 Safar 1445, Selasa – Kira-kira 28 laporan dibuat setakat ini, termasuk empat kes membabitkan isu 3R (agama, raja dan kaum) sejak hari pertama berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, kata Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Beliau berkata, kebanyakan kes terbabit adalah perbuatan merosakkan bahan kempen seperti bendera parti, kain rentang dan poster.

“Polis juga menerima empat kes melibatkan 3R, dengan dua daripada laporan itu disiasat oleh Johor dan dua oleh Bukit Aman,” katanya.

Empat kes itu membabitkan Presiden PAS ,Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana mempersoalkan kebenaran Lembaga Pengampunan dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengeluarkan ‘fatwa’ mengatakan haram (dilarang) mengundi calon Pakatan Harapan (PH di Pulai, Suhaizan Kayat.

Mengenai proses pengundian awal, Kamarul Zaman berkata, operasi berjalan lancar di dua pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Marin II Wilayah II dan Balai Polis Kempas.

Seramai 927 anggota polis layak mengundi sebagai pengundi awal bagi pilihan raya kecil Parlimen Pulai.

Pulai adalah satu daripada dua pilihan raya kecil yang diadakan di Johor berikutan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai.

SPR menetapkan pengundian bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Sabtu (9 September), selepas tempoh berkempen, yang bermula pada 26 Ogos, berakhir pada 11.59 malam pada 8 September.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button